utama

Alibaba buka pejabat serantau di KL

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KUMPULAN Alibaba membuka pejabat serantau pertamanya di Asia Tenggara di The Vertical, Bangsar South, Kuala Lumpur, hari ini.

Pejabat ini akan dijadikan pusat latihan setempat bagi melatih seramai mungkin usahawan muda perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam ekonomi digital.

Pengasas Bersama merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan AliBaba, Jack Ma mendedahkan bahawa Koridor Raya Multimedia diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi inspirasi kepadanya untuk membangunkan Kumpulan Alibaba, 18 tahun lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ma berkata, pembukaan pejabat itu menandakan usaha berterusan syarikat itu bagi meningkatkan keupayaan teknologi PKS Malaysia serta mendorong mereka ke dunia digital.

"Ini adalah komitmen Alibaba. Kami mahu Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) bermula di sini. Kami komited memperkasakan perusahaan kecil dan membolehkan mereka menjadi global," katanya ketika majlis perasmian, hari ini.

Turut bersama, Duta China ke Malaysia, Bai Tian; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Kumpulan Alibaba juga buat pertama kali akan melancarkan Minggu Malaysia di China bertujuan mempromosikan pelbagai produk Malaysia termasuk destinasi pelancongan tempatan bermula 6 hingga 12 Julai depan.

Lebih 50 jenama Malaysia dan pelbagai produk tempatan akan dipamerkan di samping aktiviti promosi yang menarik dalam tempoh itu.

Berita berkaitan:

Jack Ma kagum [METROTV]

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 3:09pm
d