utama

Dulu disindir tiada anak, sekarang...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BEBERAPA tahun lalu, setiap kali menyambut Aidilfitri, Md Fairuz Al Syafiq A Rahman, 31, sering berasa tertekan apabila kerap ditanya mengenai anak, malah ada kalanya sakit hati apabila ada saudara mara bergurau kasar mengenai hal itu.

Bagaimanapun, sambutan Hari Raya tahun ini amat berbeza apabila perasaan rendah diri dan sedih berputar 180 darjah menjadi bangga dan teramat gembira.

Mana tidaknya, Md Fairuz bukan sahaja mendapat isteri baru, malah kedua-dua isterinya melahirkan anak lelaki.

"Hari Raya kali ini paling bermakna sepanjang hidup saya kerana bukan saja dapat beraya bersama dua isteri, malah isteri saya masing-masing melahirkan seorang anak lelaki dalam tempoh selang lebih sebulan.

"Sebelum ini, saya sedih apabila sering disindir segelintir kenalan dan saudara kerana belum memperoleh anak bersama isteri pertama, Wan Rafiah Mustafa, 31, selepas berkahwin selama tiga tahun.

"Ada juga yang memperlekehkan kemampuan saya dan isteri kerana kami tidak ada anak seperti pasangan lain dan setiap kali raya, soalan wajib yang sering diajukan pasti berkait soal anak.

"Alhamdulillah, semua itu sudah berakhir. Saya dan isteri tidak akan dipersendakan lagi, malah kami bersyukur kerana kehadiran isteri kedua, Rafidah Saidi, 26, yang dikahwini pada 31 Mac 2017 memberi sinar baru dalam keluarga saya.

"Selepas mendapat kebenaran isteri pertama, saya berkahwin dengan isteri kedua dan dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, isteri pertama disahkan mengandung sebelum isteri kedua juga mengandung," katanya ketika ditemui NSTP di rumahnya di Kampung Sekati, Kuala Nerus.

Beliau berkata, kesabarannya menahan sindiran sebelum ini ternyata berbaloi apabila mendapat dua anak.

"Mana-mana lelaki yang berada di tempat saya pasti gembira tak terkata kerana dapat dua isteri dan dua anak iaitu Muhammad Rafiq Ar Zafran, yang kini berusia 60 hari dan Muhammad Rizqi Al Qadri, lapan hari.

"Malah, kami beraya bersama sebagai satu keluarga yang saling menyayangi antara satu dengan yang lain.

"Pernah dulu saya berfikir panjang untuk bertandang ke rumah sanak saudara kerana bimbang diajukan soalan berkaitan anak, tetapi sekarang jika diizinkan Allah SWT, saya akan membawa dua isteri dan dua anak beraya ke rumah mereka," katanya.

Katanya, sebagai suami dan bapa, dia menyediakan semua kelengkapan menyambut Aidilfitri lebih awal.

"Memang agak mencabar menjaga dua isteri dan dua anak kecil cuma saya bernasib baik kerana isteri pertama bersalin dahulu iaitu pada 8 April 2018 sebelum isteri kedua bersalin pada 7 Jun 2018.

"Segala keperluan isteri kedua yang berpantang sekarang diuruskan oleh isteri pertama dan ketika isteri pertama berpantang sebelum ini, isteri kedua juga membuat perkara serupa," katanya.

Sementara itu, Wan Rafiah berkata, perkahwinan suaminya dengan isteri kedua seolah-olah membuka pintu rezeki yang lebih luas untuk mereka sekeluarga.

"Bukan sahaja perniagaan barangan ternakan yang diusahakan suami semakin maju, tetapi yang lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak yang sememangnya sudah lama dinantikan.

"Saya dan madu saling bertolak ansur dan berkerjasama dalam menguruskan keluarga dan hari raya yang disambut pada tahun ini ternyata paling bersejarah serta membahagiakan kami sekeluarga," katanya.

Beliau berkata, sama seperti tahun lalu, tahun ini dia, suami dan madu berbaju sedondon sebagai tanda muafakat dan saling berkasih sayang.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 4:41pm
d