utama

Senario baru Ayie, Ismail

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Bergelar penyanyi popular pastinya mengubah senario sambutan Aidilfitri buat dua anak muda diminati ramai ini.

Ayie Elham, 21, dan Ismail Izzani, 19 mengakui mengasingkan sebahagian bajet duit raya untuk diberikan kepada anggota keluarga yang lebih muda dan kanak-kanak datang beraya.

Ditemui pada sesi fotografi khas, Ayie yang pulang beraya di Tawau, Sabah berkata dia tidaklah memperuntukkan jumlah yang besar untuk belanja persiapan dan duit raya. Apa yang disediakan adalah mengikut kemampuan.

“Saya faham, ada yang beranggapan apabila jadi artis dan dikenali ramai, duit pun banyak. Alhamdullilah, rezeki saya bersama Floor88 memang murah tetapi tidaklah sehingga kaya raya dan duit boleh dihabiskan mengikut nafsu,” katanya.

Kata Ayie, duit raya biasanya akan didahulukan buat keluarga serta saudara- mara dan kemudian barulah mereka yang datang berkunjung ke rumah.

Bercerita lanjut mengenai perubahan dialami dalam menyambut lebaran selepas bergelar penyanyi popular, Ayie berkata semuanya masih sama namun perlu lebih menjaga tingkah laku.

“Keluarga dan saudara-mara kenal saya macam mana. Cuma, sekarang lebih ramai orang berkunjung ke rumah.

“Saya tidak bolehlah lepas laku macam perangai saya yang dulu depan orang yang tidak rapat. Bimbang nanti ada yang salah anggap dan mereka rasa tidak selesa.

“Dengan keluarga dan saudara-mara tak mengapa jika terlebih gurau kerana mereka sudah ‘masak’ dengan perangai saya,” katanya.

Kata pelajar jurusan teater Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, rumah ibu bapanya terletak di bandar Tawau dan kampung neneknya di Marotai.

“Rumah keluarga saya dalam bandar, jadi susah untuk nampak orang pasang pelita. Nak rasa meriah kenalah balik ke Marotai.

“Bagaimanapun, kampung nenek tidak jauh dengan rumah kami. Hanya 45 minit perjalanan dari bandar Tawau. Malam raya kami pulang ke Marotai,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata sebaik muncul dengan single pertama tahun lalu, dia sudah dianggap sudah bekerja oleh ahli keluarganya dan disebabkan itu ramai menuntut duit raya daripadanya.

“Tahun lalu saya kena siapkan duit raya tetapi tidaklah beri kepada semua orang sebaliknya ia khusus untuk saudara-mara rapat. Saya sendiri sebaik masuk sekolah menengah, jarang dapat duit raya dan sekarang giliran saya pula memberi,” katanya yang pernah memperolehi duit raya berjumlah RM800 ketika berusia 12 tahun.

Walaupun membesar di bandar, Ismail gembira apabila dapat pulang ke kampung ibunya di Pontian, Johor, setiap kali menyambut Aidilfitri.

“Saya tidak suka beraya di Kuala Lumpur kerana tak semeriah sambutan di kampung. Di Pontian terutama Parit Betak dan Parit Abbas saya ada ramai geng,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyambut lebaran di kampung, Ismail berkata sejak kecil dia sudah dibawa bapanya menyertai rombongan takbir dan marhaban pada malam 1 Syawal.

“Kecil dulu saya ikut ayah dan rombongan takbir sebab nak kumpul duit raya. Namun, apabila sudah besar ia lebih kepada seronok dapat berkumpul dengan saudara mara dan kawan-kawan di kampung,” katanya.

Walaupun kini sudah bergelar artis, layan rakan Mail di kampung masih sama.

“Apabila jadi penyanyi ramai tetamu mahu bergambar. Saya tetap Mail yang dulu dan tiada apa yang berubah. Saya akan pulang beraya di Pontian,” katanya.

Cuma katanya sewaktu kecil dulu, dia rajin juga dibawa ibunya yang juga penyanyi popular tahun 80-an, Datin Suzila Salam untuk pergi beraya di rumah rakan-rakannya.

“Tapi apabila sudah besar saya malas nak ikut ibu. Malu pun ada. Ibu ramai kawan di kampung dan dia akan berkumpul dengan kawan-kawannya. Lama juga mereka berborak.

“Saya rasa canggung pula bila tak tahu nak buat apa. Sebab itu dalam usia begini saya lebih suka bergerak sendiri untuk beraya dan tidak lagi ikut ibu atau ayah,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 8:23am
d