utama

Cuti raya di luar negara

Oleh Ramlah Zainal

Tidak dapat dinafikan, pencapaian pelakon, pengacara terkenal dan usahawan, Neelofa kini setaraf selebriti antarabangsa.

Walaupun sering dihimpit kontroversi, Neelofa, 29, tidak pernah mengalah untuk terus mengukuhkan namanya.

Selepas Swarovski, terbaru Neelofa menjalin kerjasama dengan jenama terkenal, Louis Vuitton (LV) Malaysia.

Menurut pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini, dia berharap kerjasama dengan jenama terkenal itu akan membuka pintu untuknya melangkah ke pentas antarabangsa.

“Sebenarnya, saya dilamar pihak LV Malaysia untuk menjayakan kerjasama ini, baru-baru ini. Ia membabitkan kempen untuk baju, kasut dan skaf jenama terkenal ini.

“Apa yang menarik, mereka juga bertanya mengenai kisah penghijrahan saya dan fesyen bertudung sebelum bersetuju menjalinkan kerjasama ini,” katanya.

Menurut Neelofa, dia juga mahu meneroka pasaran fesyen tudung dan membawa jenamanya ke pentas antarabangsa.

“Saya juga mahu menjadi selebriti tempatan pertama meneroka fesyen bertudung ini. Sebelum ini, saya pernah menerima kritikan hebat netizen apabila menggayakan pakaian bersaiz besar dilengkapi beg pinggang label jenama terkemuka tetapi saya tidak gentar kerana orang kita memang susah untuk menerimanya.

“Semoga kerjasama saya dengan satu lagi jenama terkenal antarabangsa ini akan memberi nafas baru untuk fesyen bertudung,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Swarovski pula, Neelofa berkata, dia juga menyambung kontrak dengan jenama antarabangsa itu selama setahun.

“Saya akan terbabit dengan pameran dan koleksi istimewa bersama jenama itu di sini. Ia juga tahun ketiga saya menjalinkan kerjasama dengan mereka.

“Ia acara yang besar dan bukan senang pihak mereka memilih untuk mengadakan acara ini di Malaysia,” katanya.

Selepas meraikan Syawal bersama keluarganya di Kelantan, Neelofa juga bercuti ke luar negara.

Hari ini Neelofa berlepas ke Paris hingga Isnin depan. Selepas itu dia akan ke Berlin, Jerman untuk menonton konsert Beyonce di sana sebelum ke Beirut, Lubnan serta Jepun sehingga 4 Julai depan.

Serah pada penonton

Selepas Suri Hati Mr Pilot (SHMP) Neelofa mempertaruhkan drama terbarunya Ti Amor Sweetheart 100 Hari bergandingan dengan Zul Ariffin yang bersiaran di Astro sempena Syawal ini.

Walaupun bimbang dengan maklum balas penonton membabitkan babak mesranya dengan Zul, pelakon jelita ini lebih suka melihat dari sudut positif.

“Ramai yang menyukai keserasian saya dengan Zul dalam drama ini dan kami sudah berikan yang terbaik seperti dikehendaki skripnya.

“Saya juga memang berbincang dengan pengarah, Michael Ang untuk menjaga batas dan memastikan tiada babak bersentuhan dengan Zul.

“Sama ada drama ini akan mendapat sambutan sehebat SHMP atau tidak, saya juga serahkan kepada penonton untuk menilainya,” katanya.

Mengulas projek drama baru pula, kata Neelofa, buat masa ini, dia belum ada perancangan.

“Saya belum terfikir untuk projek drama baru lagi. Setakat ini, agenda seni juga padat sehingga hujung tahun.

“Saya juga sangat selektif dengan setiap watak ditawarkan sejak dulu,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 3:34am
d