utama

400 terkandas feri langgar beting pasir

Oleh Hamzah Osman

SERAMAI 400 penumpang terkandas di tengah laut apabila feri dinaiki terlanggar beting pasir di perairan Kuala Perlis.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, feri dua tingkat berlepas pada 7 malam dari jeti Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis.

Penumpang, Zulkifli Md Isa, 56, berkata, kejadian dipercayai berlaku di perairan Kuala Perlis.

"Sejurus terlanggar beting pasir, feri yang sarat dengan penumpang ini terhenti dan masih tidak bergerak.

"Ada cubaan bot bilis menarik feri tetapi tidak berjaya kerana mungkin feri berat berikutan penumpang penuh," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Zulkifli berkata, keadaan dalam feri tenang dan terkawal walaupun terdapat ramai warga emas, kanak-kanak dan bayi dalam feri terbabit.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 100 meter sahaja dari jeti Kuala Perlis akibat air laut surut.

"Cuma kasihan juga kepada penumpang yang sudah membeli tiket bas untuk perjalanan ke pelbagai destinasi seluruh negara," katanya.

Zulkifli berkata, keadaan dijangka pulih pada 2 pagi ini selepas air laut pasang.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 11:44pm
d