utama

Bankrap silap promosi

Oleh Daily Mail

Beijing: Pemilik sebuah restoran di China yang menawarkan promosi makan sampai puas terpaksa menutup perniagaan dalam tempoh kurang dua minggu selepas pelanggan tidak henti-henti menikmati makanan yang dihidangkan.

Restoran yang terletak di Chengdu, wilayah Sichuan dilaporkan menanggung hutang yang tinggi dan terpaksa ditutup selepas ramai pelanggan duduk di premis itu sepanjang hari semata-mata untuk makan.

Restoran Jiamen’er melancarkan promosi itu pada 1 Jun lalu dengan menjemput pelanggan yang mempunyai kad keahlian untuk makan sebanyak mana yang mereka mahu dengan yuran 120 yuan (RM74.40) sebulan.

Seorang pemilik restoran itu Su Zhe berkata, restoran yang menjual makanan tradisi China berkenaan dibuka pada Disember tahun lalu tetapi perniagaan mereka sangat tidak memberangsangkan.

People’s Daily Online melaporkan, pengurusan restoran itu kemudian memutuskan untuk menawarkan promosi itu untuk menarik kedatangan lebih ramai pelanggan.

Promosi itu terus menarik orang ramai dan restoran yang mempunyai 20 meja itu penuh dengan pelanggan dianggarkan mencecah 500 orang sehari.

Bagaimanapun, populariti restoran itu menyebabkan restoran itu mengalami kerugian apabila terlalu ramai pelanggan yang datang untuk makan dengan percuma.

Sebahagian pelanggan pula meminjamkan kad keahlian kepada rakan-rakan supaya mereka juga boleh makan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Su memberitahu, kad keahlian itu tidak mempunyai gambar pemiliknya dan sukar untuk pelayan menghalang sesiapa yang membawa kad berkenaan menuntut promosi berkenaan.

“Punca utama kegagalan ini adalah kegagalan kami menggunakan sistem pengecaman wajah,” jelasnya.

Menurut laporan itu, restoran berkenaan menanggung hutang 50,000 yuan (RM31,000) dalam tempoh 11 hari selepas menjual 1,700 kad keahlian berkenaan.

Berpuluh-puluh pelanggan yang datang pada awal pagi 13 Jun lalu terkejut apabila mendapati pemilik restoran itu sudah menutup perniagaannya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 9:37am
d