utama

Mbappe buat Peru gigit jari

Oleh Reuters

YEKATERINBURG, Russia: Kylian Mbappe muncul penjaring gol termuda Perancis di Piala Dunia ketika membantu Les Bleus menang 1-0 ke atas Peru pada aksi kedua Kumpulan C, sebentar tadi.

Kemenangan sekali gus menyaksikan Perancis menempah tempat di peringkat 16 terakhir dan menghantar wakil dari Amerika Selatan itu keluar daripada kejohanan.

Di usia 19 tahun, Mbappe meledak gol pada minit ke-34 perlawanan apabila menampan mudah bola berpunca daripada rembatan Olivier Giroud yang terbias pertahanan Peru yang menyaksikan penjaga gol, Pedro Gallese tertewas.

Rekod penjaring gol termuda Perancis di Piala Dunia sebelum ini adalah milik David Trezeguet di usia 20 tahun.

Peru yang kembali beraksi di pusingan akhir Piala Dunia selepas 1982, tampil dengan persembahan terpuji dengan peluang terbaik mereka hadir pada babak kedua tetapi rembatan Pedro Aquino menggegar palang.

Di sebalik deretan cubaan yang dilakukan Peru, mereka gagal memecah kebuntuan gol sekali gus mengecewakan lebih 15,000 peminat mereka yang berkampung di Yekaterinburg.

Perancis yang memenangi perlawanan pertama ke atas Australia dijadual bertemu Denmark pada aksi terakhir kumpulan.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan C lebih awal, Denmark diikat 1-1 oleh Australia.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 2:07am
d