utama

Henti pisahkan anak, keluarga

Washington: Presiden Amerika (AS), Donald Trump semalam menandatangani arahan eksekutif untuk menghentikan pemisahan anak pendatang daripada keluarga mereka di sempadan negara itu.

Trump mengubah dasar pentadbirannya sendiri dengan mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menahan keluarga secara bersama selagi kanak-kanak tidak berada dalam bahaya.

“Saya tidak suka melihat atau mampu menanggung perasaan apabila ada keluarga dipisahkan,” katanya.

Katanya, isterinya, Melania serta anak perempuan, Ivanka memainkan peranan mengubah fikirannya termasuk menunjukkan gambar kanak-kanak dikurung.

“Ivanka amat terasa mengenai perkara itu, begitu juga isteri dan saya sendiri. Saya rasa sesiapa yang mempunyai hati dan perasaan akan terasa,” katanya.

Ivanka kemudian membuat kenyataan terbuka sebaik sahaja arahan terbabit ditandatangani.

“Terima kasih @POTUS (Presiden AS) kerana mengambil tindakan menghentikan pemisahan keluarga di sempadan.

“Ahli kongres mesti bertindak dan mencari penyelesaian berkekalan serta konsisten dengan nilai dikongsi bersama, nilai sama yang dicari semua dalam usaha mewujudkan kehidupan lebih baik untuk keluarga mereka,” katanya. - Daily Mail

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 10:48am
d