utama

Tiada diskriminasi

Oleh Najiy Jefri

Walaupun namanya berada dalam kelas tersendiri selepas lebih sedekad mencanai bakat dalam dunia lakonan, Nelydia Senrose tidak pernah bersikap diskriminasi untuk bergandingan dengan pelakon baru.

Sebaliknya, pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini lebih teruja untuk bekerjasama dengan pendatang baru kerana dapat bertukar-tukar ilmu antara satu sama lain.

“Rasanya saya tak banyak berlakon dengan pelakon baru, tapi gembira dapat digandingkan bersama pelapis baru yang sama-sama mewarnai industri hiburan kita.

“Dari situ juga saya dapat bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Nelydia, walaupun dia tidak kisah bekerjasama dengan pelakon baru, sebagai anak seni, mereka seharusnya mempunyai keinginan mempelajari teknik lakonan dengan betul.

“Bagi saya, jika mahu menjadi pelakon yang hebat seseorang itu perulah belajar teknik lakonan dan banyak bertanya dengan pelakon senior.

“Sehingga kini saya masih rasa banyak kekurangan dan perlu mempelajari selok- belok lakonan yang betul.

“Saya tidak suka umum melabel saya yang bukan-bukan. Jadi sebagai pendatang baru perlu sentiasa tanamkan dalam diri untuk belajar dan tidak mudah mengalah,” katanya.

Ditanya mengenai kehadiran ramai pelakon baru, Nelydia berkata, dia menganggap kehadiran mereka memberi aura positif.

“Jika dulu pelakon perlu bekerja keras untuk membuktikan bakat yang mereka miliki, tapi sekarang banyak platform boleh dilakukan untuk menaikkan nama.

“Saya harap mereka tidak mengambil mudah setiap peluang yang diberikan, sebaliknya sentiasa mempelajari watak yang ingin dilakukan.

“Jangan sia-siakan peluang yang diberikan kerana dulu pelakon baru tidak mudah ditawarkan watak heroin,” katanya.

Ditanya mengenai sisi peribadinya, Nelydia yang kini berkawan rapat dengan seorang usahawan bernama Haffiz belum dapat mengesahkan bila tarikh mereka bakal disatukan.

Sebelum ini, kedengaran khabar angin mengatakan mereka mungkin mengakhiri zaman bujang tahun ini.

“Saya tidak berani cakap bila tarikhnya. Kami masih dalam peringkat merancang. Saya akan kongsi apabila sudah ada kata putusnya nanti,“ katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 3:44am
d