utama

Bimbang ditimpa serpihan bumbung

Oleh Saadiah Ismail dan Husna Alias

Kuala Lumpur: Lebih 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kepong di sini, berdepan bahaya berikutan bumbung bangunan tiga tingkat sekolah itu rosak teruk akibat dilanda ribut dan berkemungkinan menimpa mereka.

Guru Besarnya, Rosman Matnoor berkata, situasi itu membuatkan pihaknya perlu berjaga-jaga berikutan bimbang jika serpihan bumbung yang tercabut itu menimpa murid.

Katanya, keadaan bertambah teruk ketika ribut pada bulan lalu hingga mengakibatkan deretan bilik darjah yang digunakan sebagai perpustakaan, bilik muzik dan sebagainya tidak dapat digunakan langsung.

“Bumbung tercabut dan air hujan menimpa bilik darjah. Habis bahan pembelajaran tidak boleh digunakan lagi. Ketika waktu rehat, murid diawasi agar tidak lalu berdekatan dengan kawasan bumbung tercabut itu kerana bimbang ia menimpa mereka.

“Ini kerana serpihan bumbung itu masih ada lagi, jadi pihak kami hanya dapat mengawas murid daripada lalu berdekatan kawasan bahaya itu saja. Di sini, ada murid pra sekolah dan murid pendidikan khas juga, jadi agak sukar untuk mengawalnya,” katanya ditemui, semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng datang ke sekolah berkenaan untuk meninjau kawasan bangunan berikutan sesi persekolahan akan bermula Isnin ini.

Rosman berkata, keadaan bumbung ini dikatakan agak usang sejak dua tahun lalu, namun pihak sekolah tidak mempunyai peruntukan untuk membaik pulih.

“Saya bertugas sebagai Guru Besar pada tahun lalu, jadi saya sendiri tidak tahu berapa lama keadaan bumbung ini. Selain itu, sumbangan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga belum dilakukan.

“Jadi sekiranya baik pulih dapat dilakukan segera, keselamatan dan pembelajaran murid, guru dan kakitangan juga akan lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, Lip Eng berkata, pihaknya akan menyalurkan segera peruntukan kecemasan RM20,000 untuk membaik pulih bumbung berkenaan.
“Keadaan bumbung itu pun memang nampak tidak selamat. Ini adalah sekolah kerajaan, berada dalam bandar pula dan tidak sepatutnya perkara ini lambat diatasi. Bagaimana jika sekolah di luar bandar pula.

“Kerajaan dulu sepatutnya melihat perkara ini dengan teliti. Saya akan pastikan peruntukan sepatutnya diberi untuk sekolah ini dibaik pulih demi keselamatan semua,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 4:53am
d