utama

Warga emas durjana

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI warga emas bakal menghabiskan sisa hidupnya di dalam tirai besi selepas dia ditahan polis kerana dipercayai merogol ahli keluarganya di sebuah rumah di Samarahan, semalam.

Lelaki berusia 70 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa berusia 11 tahun di sebuah bilik 2.30 pagi, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, mangsa yang sedang tidur terkejut selepas menyedari suspek masuk ke dalam bilik.

Menurutnya, suspek kemudian merogol mangsa sebelum bergegas keluar kerana bimbang perbuatannya disedari ahli keluarga yang sedang tidur.

“Suspek yang datang ke rumah mangsa sejak beberapa hari lalu untuk melawat keluarga berkenaan namun melakukan perbuatan terkutuk itu sebelum pulang ke rumahnya di Matang.

“Ibu bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian oleh anak perempuan mereka kemudiannya bergegas membuat laporan di Balai Polis Kota Samarahan.

“Sebaik menerima laporan dan mengambil keterangan daripada mangsa dan ibu bapanya, sepasukan polis ke sebuah rumah di Matang jam 11 pagi hari yang sama laporan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 2:58pm
d