utama

Dua budak hilang dalam bekas lombong

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

DUA kanak-kanak berusia sembilan dan 12 tahun dikhuatiri lemas manakala lima lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian di kawasan bekas lombong di Taman Suria, Johor Bahru, petang hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa Norfifi Alisha Natalia Afidan Shah, 12, dan seorang lagi kanak-kanak lelaki yang hanya dikenali sebagai Afik, 9, hilang selepas mandi bersama lima lagi rakan mereka.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Nazaruddin Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.15 petang.

Katanya, sebuah jentera bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan.

“Dua kanak-kanak dipercayai lemas di lombong berdekatan pasar raya di Taman Suria selepas mangsa bersama rakan yang lain mandi di kawasan kejadian.

“Lima daripada mereka berjaya diselamatkan manakala pihak bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa hilang itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nazaruddin berkata, lima mangsa selamat ialah Rizman Ismail, 13; Ghismawi Ismail, 9; Mohd Danish Ashraf Afidan Shah, 10; Muaz Ibrahim, 9, dan Mohd Danish Omar, 10.

Beliau berkata, buat masa kini operasi masih dijalankan sehingga kedua-dua mangsa ditemui.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 7:28pm
d