utama

Buang sikap buruk

Oleh Najiy Jefri

Menginjak usia 23 tahun pada 1 Jun lalu, satu matlamat ditetapkan pelakon jelita Janna Nick mengenai kerjaya seninya yang sudah mencecah enam tahun.

Janna mahu membuang sikap negatif dan tidak mahu bersuara lantang dalam menegakkan pendirian.

Malah, pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner ini juga mengambil langkah lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya.

Menurut pelakon drama bersiri Isteri Untuk Diiktiraf ini, dia mahu hidup lebih tenang dengan tidak memberikan respons pada sebarang provokasi yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

“Sejak akhir tahun lalu saya berazam untuk membuang terus tabiat buruk yang sebelum ini gemar respons kepada unsur negatif serta kecaman.

“Walaupun saya tahu sifat lahiriah manusia ini sukar dibuang, tapi saya nekad mahu berubah.

“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan pertama ini saya berjaya mengawal ego.

“Semuanya untuk menyelamatkan kerjaya seni saya. Sudah tiba masa saya memulakan langkah ini untuk kebaikan diri seiring dengan status yang dipegang.

“Saya bukan artis baru lagi, jadi kena beringat-ingat,” katanya.

Jelas Janna, kehidupannya semakin tenang dengan keputusan itu dan berharap dia akan terus istiqamah dan tidak melayan perkara negatif.

“Saya rasa lebih tenang apabila dapat mengawal anasir negatif yang cuba mengganggu kehidupan saya.

“Alhamdulillah kehidupan saya lebih gembira apabila sentiasa dikelilingi orang yang baik dan sayangkan saya.

“Saya sedar, setiap manusia ada kekurangan tapi kita harus bijak mengawal diri dan perlu mengorak langkah ke arah yang lebih baik. Itulah prinsip yang saya pegang supaya tidak makin dibenci,” katanya.

Janna yang juga dikenali sebagai penyanyi lagu Mungkin Saja berkata, dia juga semakin matang dalam memahami sepak terajang industri hiburan dan mula sedar tanggungjawab semakin berat dalam memastikan kanvas seninya terus konsisten.

“Saya perlu lebih berhati-hati dalam setiap sudut. Kehidupan saya nikmati ini bukan medan untuk bersuka ria, sebaliknya perlu bekerja keras untuk memastikan kehadiran saya terus bercahaya.

“Oleh itu, saya perlu memilih karya yang benar-benar berkualiti supaya perjalanan seni saya berjalan dengan baik dan konsisten,” katanya.

Suka bola sepak sejak kecil

Siapa sangka, demi kerjaya juga, Janna sanggup korbankan kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga tercinta di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini apabila dia dibawa ke Russia sempena Piala Dunia 2018.

Lebih mengujakan, impiannya menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Russia membabitkan pasukan pilihannya, Portugal menentang Sepanyol di Stadium Fisht, Sochi menjadi kenyataan.

Janna tiba di tanah air Isnin lalu berkata, walaupun tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga buat kali pertama, dia gembira apabila melihat bintang bola sepak idolanya, Cristiano Ronaldo beraksi di depan mata.

“Saya memang seronok kerana diberi peluang berada di tepi padang dan melihat secara dekat pemain melakukan sesi memanaskan badan.

“Saya memang meminati bola sepak sejak kecil. Jadi, apabila berpeluang menonton perlawanan Piala Dunia secara langsung di depan mata, ia pengalaman manis yang takkan dilupakan,” katanya.

Menurutnya, walaupun perasaannya ketika itu bercampur-baur kerana terpaksa meraikan Aidilfitri di luar negara, masih ada kenangan manisnya.

Selain itu, Janna berpeluang menonton perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 membabitkan pasukan tuan rumah, Russia menentang Arab Saudi di Stadium Luzhniki, Moscow pada 14 Jun lalu.

Janna dibawa ke Russia oleh jenama telefon pintar, Vivo. Janna juga adalah duta bagi jenama itu bersama seorang lagi pelakon, Alvin Chong.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 4:59am
d