utama

Muka sarang cacing

Oleh Agensi

Moscow: Ketulan kecil bergerak-gerak yang muncul di muka seorang wanita berusia 32 tahun di Russia membawa kepada penemuan mengerikan apabila doktor menemui cacing di bawah kulitnya.

Wanita itu berjumpa doktor mata kerana ada ketulan kecil pada kelopak mata selain berasa pedih dan gatal sebelum bibirnya bengkak.

Ketulan itu bermula pada bawah mata kiri sebelum dilihat berada pada atas matanya kira-kira lima hari kemudian.

Menurut Daily Mail, kes wanita itu disiarkan dalam Jurnal Perubatan New England.

Ia kelihatan selama 10 hari sebelum hilang dan selepas itu bibirnya pula bengkak.

Doktor mendapati ketulan itu bergerak sebelum mengesan cacing parasit di bawah kulit mukanya dan berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan.

Cacing filaria itu yang masuk melalui mata, boleh mengakibatkan penyakit kaki gajah (elephantiasis) atau buta.

Menurut doktor, cacing itu biasanya ditemui pada anjing serta haiwan karnivor lain dan tersebar melalui gigitan nyamuk.

Wanita itu memberitahu dia sering menjelajah ke kawasan pedalaman Russia dan kerap digigit nyamuk.

Cacing itu bertelur di dalam nyamuk dan boleh dipindahkan kepada mamalia dan membesar dalam badan.

Sebagai parasit, ia mengambil semua nutrien badan dan tidak boleh hidup di luar.

Ia boleh hidup sehingga lapan tahun dan sepanjang tempoh itu berupaya melepaskan berjuta larva ke dalam darah.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 5:35am
d