utama

Terpaksa potong

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lebih 1,000 mangsa serangan rejim Zionis sedang menderita dan terpaksa menunggu giliran bagi mendapatkan rawatan berikutan kekurangan pakar, peralatan serta ubat-ubatan di Gaza.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, sebahagian besar daripada mangsa adalah peserta perhimpunan Great Return March masih berlangsung sehingga sekarang.

Penderitaan umat Islam Palestin itu disaksikan sendiri Dr Mohd Zin yang menyertai misi Aqsa2Gaza20 (A2G20) penghujung Ramadan lalu.

“Saya melihat mangsa kekejaman Israel seakan reda dengan apa yang menimpa mereka biarpun terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan rawatan berikutan bekalan ubat-ubatan terhad.

“Akibat terlalu lewat diberikan rawatan ada mangsa mengalami jangkitan kuman kemudian merebak ke organ badan lain,” katanya.

Pada misi itu, beliau berjumpa dengan Timbalan Menteri Kesihatan Gaza Dr Yousief Abu al-Reesh untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan pesakit di negara itu.

“Yousief memaklumkan angka pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan mungkin bertambah berikutan jumlah peserta Great Return March akan meningkat mendadak setiap Jumaat.

“Luka atau kecederaan yang tidak dirawat membusuk akibat jangkitan kuman, hingga ada yang terpaksa dipotong. Tidak kurang juga menemui ajal akibat kekurangan bekalan ubat-ubatan.

“Hasil tinjauan dilakukan saya mendapati aspek perubatan paling kritikal berikutan bekalan yang begitu terhad,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MyCARE Johor berkata, berikutan itu aspek perubatan akan diberi keutamaan dalam projek MyCARE dalam masa terdekat.

“Selain itu, kami juga perlu berusaha menambah baik keperluan dan peralatan perubatan, membaiki bangunan hospital yang uzur serta menambah jumlah pakar dalam pelbagai bidang.

“Cadangan itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat MyCARE semalam (kelmarin). Kami juga sepakat melancarkan projek penjagaan kesihatan untuk Gaza dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, selain mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyCARE juga meminta bantuan daripada pihak lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan bantuan pakar.

“Perhatian juga akan diberikan kepada petugas perubatan di sana, mereka mengalami tekanan berikutan bekerja lebih masa setiap hari dan berdepan pelbagai situasi cemas di luar dugaan.

“Berikutan itu kami cuba membawa pakar motivasi dari Malaysia untuk memberi semangat kepada mereka agar terus tabah dalam menempuh segala cabaran mendatang,” katanya.

Katanya, orang ramai mahu membantu boleh menyumbang menerusi akaun Maybank Islamic (564258560698) atau CIMB Islamic (8602135592) atau Bank Islam (120920100349 04) atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 6:54am
d