utama

[UPDATE] 'Saya hilang dua abang serentak...'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“IKHWAN sepatutnya mendaftarkan diri di Kolej Komuniti Banting (Selangor) Selasa ini dan dia kelihatan sangat teruja, namun impiannya tidak kesampaian apabila terlebih dahulu dijemput Ilahi.

"Saya tidak sangka dia akan meninggalkan saya secepat ini sedangkan sebelum ini kami sentiasa melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama," kata Khasrul Izwan Mohd Yusof, 18.

Dia adalah adik kembar kepada Khasrul Ikhwan Mohd Yusof, 18, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Mentakab, dekat Temerloh, 9.30 pagi hari ini.

Kemalangan itu turut mengorbankan abangnya, Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, serta seorang lagi pemandu kenderaan lain, Chua Jyh Shyong, 37.

Dalam kejadian itu, Proton Exora yang dinaiki lapan beranak itu dirempuh treler membawa muatan kertas dari arah bertentangan sebelum melanggar kenderaan Toyota Hilux yang dipandu Chua.

Mangsa yang cedera adalah bapa mangsa, Mohd Yusof Ghazali, 55, isterinya, Norizan Md Diah, 51, anak mereka, Khasrul Hafiz Haqimie, 25, Khasrul Hanif Hazirin, 23, dan Khasrul Izwan, 18.

Seorang lagi anak mereka, Khasrul Ikram, 13, dilaporkan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

Turut mengalami kecederaan adalah penumpang Toyota Hilux, Chee Kok Yong, 39.

Khasrul Izwan berkata, dia menyedari kelainan Khasrul Ikhwan apabila kembarnya itu rajin membaca al-Quran dan bersolat sejak kebelakangan ini.

"Arwah juga sering mengingatkannya untuk menunaikan solat, baru saya sedar perubahannya itu adalah petanda dia akan meninggalkan saya buat selamanya.

"Walaupun sedih kerana kehilangan dua ahli keluarga serentak ketika umat Islam masih gembira merayakan Aidilfitri, namun saya reda kerana Allah menyayangi mereka," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HOSHAS, hari ini.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Khasrul Hafiz Haqimie berkata, mereka menghadiri majlis perjumpaan keluarga di Kampung Batu 4, Paya Pulai, semalam dan sepatutnya pulang ke rumah mereka di Sungai Penchala, Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

"Bagaimanapun ayah merancang pergi memancing di Empangan Klau, Raub terlebih dahulu dan bertolak kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

"(Khasrul) Haizal antara orang yang paling teruja untuk memancing, malah dia sudah menyediakan segala kelengkapan memancing sejak semalam lagi," katanya.

Ditanya mengenai kejadian berkenaan, Khasrul Hafiz berkata, dia tidak mengingati dengan jelas kerana ketika kejadian dia tertidur dan tersedar apabila kereta mereka bergegar dan terbalik.

"Saya terpaksa keluar mengikut pintu belakang kereta, ketika itu saya melihat kepala (Khasrul) Ikhwan berlumuran darah manakala (Khasrul) Haizal tersepit di tempat duduknya.

"Saya cuba mengeluarkan adik-beradik saya yang lain dan ibu sebelum orang ramai yang berada di tempat kejadian turut membantu kami," katanya.

Jenazah dua beradik berkenaan dikebumikan di Paya Pulai selepas solat Asar.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dua beradik antara tiga maut

Tiga maut dalam nahas tiga kenderaan

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 6:16pm
d