utama

Sasqia si tinggi lampai

Oleh HM Digital

Nama Sasqia Dahuri mungkin belum mencetuskan fenomena seperti pelakon wanita baru yang lain.

Namun tempatnya sentiasa ada di hati penerbit drama atau filem, sekali gus merancakkan karier seninya.

Tidak dinafikan, Sasqia, 33, menyerlah dalam setiap lakonannya membawa watak jahat. Pelakon drama Lara Aisha ini sebenarnya mula mencuri perhatian penonton apabila cemerlang melakonkan watak sebegitu.

Menurutnya, pelakon lain mungkin akan bosan jika kerap diberikan watak jahat. Namun, dia melihatnya sebagai satu kelebihan dan rezeki yang sepatutnya disyukuri sebagai pelakon.

“Sepanjang saya bergelar pelakon, hampir semua watak diberikan adalah watak jahat. Namun, siapalah saya untuk memilih watak. Terus berada dalam industri hiburan ini pun dah cukup bagus.

“Saya tak rasa ralat dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Ramai lagi yang berusaha untuk menjadi pelakon dan mengimpikan ruang sebagaimana ada pada saya sekarang.

“Peminat sendiri pun sudah kenal dan tahu saya sentiasa mendapat watak jahat. Saya melihat itu sebagai kelebihan disebabkan dalam hidup ini kita kena fokus kepada benda yang sudah ada depan mata,” katanya.

Sasqia boleh dikatakan antara pelakon tempatan istimewa disebabkan memiliki ketinggian 178 sentimeter. Di luar negara ketinggian sebegitu mungkin biasa, namun di Malaysia ia agak tinggi untuk wanita tempatan.

Menurutnya, dia tidak pernah pun terdetik untuk menyalahkan ketinggiannya itu dan ia bukan masalah besar buatnya.

“Ya, ketinggian saya memang antara kekangan juga untuk mendapat watak, namun ia tidak membawa masalah. Bagi saya itu perkara biasa untuk pelakon di mana-mana sekalipun.

“Untuk orang Asia, memang tidak ramai yang tinggi. Di Malaysia, antaranya kita ada Zahirah MacWilson dan Dynas Mokhtar. Mungkin halangannya dari segi mencari pasangan watak sesuai tapi normal jika ada cerita yang saya tak sesuai ditampilkan.

“Yang penting semangat saya untuk berusaha mendapat rezeki lebih masih terus berkobar-kobar. Saya tidak akan pernah berasa cukup dan selesa dengan apa yang dicapai pada tahap ini.

“Lihat saja pelakon lain seperti Shaheizy Sam yang masih lagi bekerja keras walaupun sudah belasan tahun dalam industri. Saya juga mahu ada semangat itu,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Sasqia cukup teruja untuk memulakan penggambaran filem terbitan Suhan Movies. Lebih membuatkannya teruja apabila berpeluang bergandingan dengan Nabila Huda.

Menjadikan Nabila sebagai penanda arasnya sebagai pelakon, impian bergandingan dengannya akhirnya tercapai.

“Masa awal berlakon dulu, saya memang selalu melihat dan menjadikannya sebagai inspirasi untuk menjadi pelakon terbaik. Tidak sangka, saya bakal bergandingan dengannya pula dalam filem berkenaan.

“Semestinya saya sudah tidak sabar untuk menimba ilmu daripadanya dan melihat sendiri caranya di set. Saya pasti akan belajar banyak perkara baru daripadanya nanti,” katanya. - Georgie Joseph

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 8:42am
d