utama

Dua maut, tujuh cedera dalam kemalangan dinihari

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

DUA maut, tujuh cedera manakala 30 yang lain terselamat selepas bas ekspres dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 163.8 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Tangkak, hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.20 pagi apabila bas itu dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Tee Suang Lee, 55, dari Jenjarom, Selangor dan P Suthan, 33, dari Port Dickson Negeri Sembilan.

Pemandu bas Abdul Naib Jumeat, 46, pula patah kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Manakala, lima warga Bangladesh turut cedera dengan tiga daripadanya ditempatkan di Zon Merah HPSF, sementara seorang rakyat tempatan yang cedera dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris berkata, kejadian berlaku ketika bas ekspres itu dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Cheras.

Katanya, akibat kemalangan itu dua mangsa maut manakala tujuh yang lain termasuk pemandu bas cedera dan menerima rawatan di HPSF Muar.

“Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.32 pagi.

Menurutnya, lapan anggota bersama sebuah jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahman Jaafar dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir bergegas ke tempat kejadian.

“Bas ekspres itu terbabas, dan kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 6:55pm
d