utama

Gelut Ustaz Mohamed Hanafiah lawan barah

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: “Kesihatan saya sebenarnya sangat lemah. Namun saya cuba kuatkan diri dan semangat setiap masa.

“Rasulullah SAW bersabda antaranya bermaksud ‘esok kiamat, hari ini kita masih perlu untuk tanam sebiji benih’. Jadi kena selalu sangka baik kepada Allah,” kata pendakwah bebas Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 44, yang disahkan menghidap kanser limfoma sejak 31 Januari tahun lalu ketika ditanya keadaan terkini beliau.

Menurutnya, beliau perlu memastikan berada di dalam keadaan kuat supaya kerja dicintainya iaitu berdakwah boleh dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Lagipun sekiranya nampak lemah, nanti orang pun bimbang nak panggil untuk berceramah,” katanya yang lebih mesra dipanggil Ustaz Hanafi ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kelab Motosikal Sifu Bikerz di Gombak, di sini, kelmarin.

Mohamed Hanafiah berkata, walaupun doktor memberitahu beliau terkena kesan sampingan akibat proses kemoterapi dinamakan Brain Kemo selain turut menghidap hypotiroid namun itu tidak menjadi alasan untuknya memperlahankan kerja dakwah.

Mengenai aktiviti terkini Sifu Bikerz pula, beliau yang juga pengasas kumpulan motosikal itu berkata, ahli kelab terbabit sudah meningkat kepada 250 orang.

“Alhamdulillah, kita banyak buat program bermotosikal sambil berdakwah yang dinamakan Kembara Dakwah.

“Kami baru selesai Kembara Dakwah JDT di Johor membabitkan kawasan Batu Pahat, Muar, Kluang dan Johor Bahru. Sambutan penduduk tempatan sangat menggalakkan.

“Sebelum program ceramah, kita ronda di sekitar bandar dan pergi cari kumpulan mat rempit untuk mengajak mereka ke surau dan masjid.

“Selepas ceramah, kita berkonvoi pula dengan mereka. Itu kaedah yang disukai mereka, sekali gus cara mendekatkan diri dengan Allah,” katanya.

Menurutnya, kaedah dakwah seumpamanya turut meluas sehingga ke Thailand dan masyarakat Muslim di sana menyukai usaha dakwah seperti itu.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 4:57am
d