utama

Sudah dipenjara 10 kali

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: “Allah makbulkan doa saya ketika jalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor dan akhirnya saya masuk ke sini,” ujar Ismail, 42, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Tiang Dua di sini, bersempena majlis sambutan Aidilfitri pusat itu, semalam.

Ismail sudah 10 kali menjalani hukuman penjara kerana terbabit dengan penyalahgunaan heroin sejak berusia 14 tahun.

Daripada seorang Muslim yang saban hari leka dengan kehidupan duniawi, dia yang membesar di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, mengakui kini dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mendalami ilmu agama terutama solat.

“Memang sebelum keluar penjara, saya berdoa agar Allah takdirkan saya ke sini. Tercapai juga hasrat saya itu dalam masa dua jam sahaja selepas dibebaskan dari Penjara Kajang.

“Walaupun berada di sebalik pagar besi, saya bersyukur masih dapat melihat dunia luar berbanding berada di sebalik tembok batu. Mungkin di sinilah peluang untuk saya berubah,” katanya.

Biarpun tidak menerima lawatan daripada ahli keluarganya pada majlis itu, dia tetap ceria melihat lebih 50 penghuni CCRC menerima kunjungan keluarga masing-masing.

Anak kedua daripada dua beradik itu berkata, dia berharap keluarga, terutama abangnya menerimanya kembali, sebagaimana yang sering dilakukan abangnya sebelum ini.

“Pendidikan agama yang saya pelajari inilah yang sebenarnya menjadi kunci untuk saya berubah, malah saya membersihkan diri daripada menjadi hamba dadah,” katanya yang menjalani hukuman sejak Oktober tahun lalu.

Seorang lagi penghuni, Wira, 40, (bukan nama sebenar) berkata, banyak rahmat yang diterimanya sebaik dia dimasukkan ke CCRC selepas kurang sebulan dibebaskan dari Penjara Sungai Udang atas kesalahan memiliki dadah.

Dia yang mengakui sukar untuk membaca kitab suci al-Quran satu ketika dahulu kini bersyukur kerana sudah lancar malah khatam pada Ramadan lalu sejak menjalani pemulihan di CCRC.

Tukang rumah yang ditahan di rumahnya di Pengkalan Balak, Masjid Tanah pada Disember lalu itu berkata, penahanannya itu adalah rahmat daripada Allah SWT yang tidak dapat dinilai dan peluang yang diberikan akan digunakan sebaiknya bagi membetulkan dirinya.

Katanya, pendidikan agama yang dipelajarinya di CCRC menjadi kunci perubahan agar tidak terjebak kembali dengan najis dadah yang dikenalinya, juga sejak berusia 14 tahun.

Sementara itu, ibu kepada seorang penghuni pusat terbabit, Normah, 70, (bukan nama sebenar) berkata, dia bersyukur anaknya Borhan, 35, (bukan nama sebenar), berubah walaupun baru dua bulan dimasukkan ke CCRC.

Katanya, dia sendiri ke pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Muar, Johor bagi menyerahkan Borhan untuk menjalani pemulihan di CCRC.

“Perubahan sikap Borhan yang juga anak ke 11 daripada 12 beradik amat ketara terutama dalam menjaga solat. Saya juga sangat bersyukur apabila Borhan meluahkan hasrat mahu mendalami agama di sekolah pondok apabila dia selesai menjalani pemulihan selama dua tahun di CCRC,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 5:09am
d