utama

'Sorry, no comment'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Veena Babulal

“SEHINGGA pagi ini, saya belum menerima sebarang surat jemputan (pelantikan ahli kabinet) dan hanya mengetahui berita itu menerusi akhbar," kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau mengulas mengenai senarai nama menteri kabinet baru yang turut termasuk namanya, yang tular di laman sosial.

Menurut Teresa, dia tidak boleh memberi sebarang kenyataan memandangkan belum ada pengumuman rasmi dilakukan oleh kerajaan.

"Saya tidak boleh komen kerana masih tidak menerima surat jemputan rasmi.

"Jadi, tidak tahu senarai itu benar atau tidak," katanya ketika ditemui di pada Majlis Taklimat Ahli-ahli Dewan Rakyat Parlimen ke -14 di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman yang dikatakan akan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan turut enggan mengulas mengenai senarai menteri tambahan berkenaan.

Kata Syed Saddiq, beliau tidak layak untuk memberi sebarang kenyataan memandangkan Perdana Menteri belum membuat pengumuman rasmi.

"Saya minta maaf, saya tidak dapat komen lanjut.

"Tunggu pengumuman rasmi dan kemudian barulah saya akan memberi kenyataan lanjut. I'm so sorry," katanya.

Dalam pada itu, pada sidang media semalam, Dr Mahathir mengesahkan baki senarai nama Kabinet kerajaan sudah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan pada upacara mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa ini, beberapa portfolio penting termasuk Menteri Luar yang masih kosong selain tiada timbalan menteri dinamakan.

Sebelum ini, Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, pentadbirannya tidak akan memiliki lebih daripada 30 kementerian.

Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan bahawa istiadat mengangkat sumpah baki barisan kabinet akan berlangsung di Istana Negara pada 2 Julai ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet pada 20 Jun lalu.

"Senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan dikembalikan semula kepada Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.

"Pihak istana ingin memaklumkan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet akan diadakan pada 2 Julai di Istana Negara," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 11:14am
d