utama

Setahun 'dapatkan' suara

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Dalam keghairahan peminat muzik meraikan penyanyi baru yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU), bekas pemenang Anugerah Juara Lagu 2003, Misha Omar muncul dengan buah tangan terbaru berjudul Sampai Bila.

Bagaimanapun, Misha atau Samiha @ Aisah Omar, 36, tidak menjadikan single itu sebagai senjata untuk dirinya kembali memberikan persaingan.

Sebaliknya, Misha menganggap kemunculan single itu adalah warna baru dalam industri muzik. Apatah lagi, beberapa rakan seangkatan dan penyanyi senior lain seperti Azharina, Siti Sarah, Liza Hanim dan Nora Ariffin muncul dengan single baru.

Ia sekali gus menjadi petanda kebangkitan penyanyi senior yang sebelum ini dikenali dengan kualiti nyanyian dan persembahan mereka.

Dalam erti kata lain, peminat juga sebenarnya dahagakan karya baru daripada mereka selain ingin menyaksikan gaya persembahan penyanyi sejati yang tidak bersandarkan populariti dan lagu tular semata-mata.

“Apabila saya dan beberapa penyanyi senior lain muncul dengan lagu baru, ini adalah warna baru dalam industri. Kiranya, sekarang ada penyanyi baru dan lama.

“Bagi saya, setiap daripada mereka hadir dengan karya baru. Paling penting, masing-masing ada kelebihan tersendiri. Daripada situ, pilihan peminat pelbagai.

“Kalau sebelum ini kita tengok kemunculan penyanyi baru sekadar bermusim. Kali ini, dengan adanya lagu saya dan rakan lain, industri muzik kita lebih bervariasi,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan Sharon Paul itu, Misha berkata dia terpaksa mendapatkan bimbingan daripada guru vokal yang juga penyanyi, Dia Fadila kerana mengalami masalah suara selepas bersalin pada Ogos 2016.

Misha mengakui dia kehilangan kelunakan suara ketika menyanyi hingga membuatkan mengambil masa hampir setahun untuk merakamkan lagu itu.

“Sejujurnya, saya takut nak ke studio bagi merakamkan lagu ini tahun lalu. Ketika itu saya perlukan bimbingan untuk lagu ini. Saya bukan cerewet tetapi mahu memastikan lagu ini berkualiti.

“Selepas bersalin, saya berasakan kualiti suara kurang dan tidak seperti dulu. Orang lain kata okey, tetapi saya tidak. Disebabkan itu, saya gunakan khidmat guru vokal. Malah, untuk mendapatkan semula kualiti suara, saya ambil masa hampir sertahun.

“Semua tahu, tidak sampai enam bulan selepas bersalin saya terbabit dalam Anugerah Juara Lagu 31 menerusi lagu duet dengan Hafiz Suip. Selepas pertandingan, saya demam dan kehilangan suara. Mungkin ketika itu saya belum benar-benar bersedia untuk kembali menyanyi,” katanya.

Misha berkata, dia tidak mahu bersikap asal siap sebaliknya meletakkan sepenuh tanggungjawab terhadap lagu itu.

“Bukan mudah mengembalikan kepercayaan peminat terhadap kita. Sebagai penyanyi yang sudah lama tidak muncul dengan lagu baru, saya perlu gandakan usaha dan kerja.

“Pada masa sama, saya kena hargai setiap sokongan yang diberikan. Selagi masih ada yang sayang dan suka, kena teruskan bekerja. Jika berlaku sebaliknya, kena cari idea baru,” katanya.

Apa yang pasti, sejak lagu itu dilancarkan bulan lalu, Misha dapat merasai erti kerinduan peminat yang selama ini menantikan buah tangan terbaru daripadanya.

Tambah anak

Selepas anaknya, Muhammad Idris Ezzwa berusia dua tahun, Misha sudah bersedia untuk menambah zuriat.

“Sebenarnya, sejak awal tahun lagi saya berdoa untuk dikurniakan anak kedua. Kiranya, misi tahun ini memang nak tambah anak. Kalau tengok perkembangan Idris pun, dia macam sudah bersedia nak ada adik baru.

“Namun, dalam perkara ini Allah adalah sebaik-baik perancang. Dalam kesibukan saya sekarang, Allah belum berikan rezeki itu. Tetapi, saya tidak pernah putus berdoa. Kalau ada, adalah.

“Macam kehamilan pertama dulu, saya dan suami tidak pernah merancang. Allah berikan tepat pada waktu apabila kebetulan kami tidak sibuk dengan kerjaya. Jadi, sepanjang tempoh itu saya tidak terbeban dan melaluinya dengan tenang,” katanya.

Selain Idris iaitu anak daripada hasil perkahwinan dengan suami, Firos Ezzwan Rossly, Misha juga memiliki anak angkat, Muhammad Adam Emir yang kini berusia 12 tahun.

“Alhamdulillah, hubungan abang dan adik sangat akrab. Apa saya perasan, Adam jenis penyayang dan sangat bertanggungjawab terhadap adiknya.

“Macam sekarang, Adam sudah boleh tukarkan lampin Idris malah mandikannya juga. Dia sentiasa ingin membantu menguruskan adiknya. Walaupun saya tidak mengajarnya, dia tahu berdasarkan apa yang dilihat setiap hari. Daripada situ dia cuba untuk buat,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 3:29am
d