utama

Ambil masa 36 hari - Amar Singh [METROTV]

Oleh Wartawan NSTP

POLIS mengambil masa 36 hari untuk mengira dan menilai barang rampasan daripada beberapa lokasi membabitkan milik bekas Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, pada 16 dan 17 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, ia membabitkan penggeledahan di enam premis milik Najib dan dua anaknya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lapan pasukan khas bertanggungjawab untuk mengira dan menilai barang rampasan terbabit.

“Seramai 150 anggota penyiasat teruskan pengiraan nilai barang rampasan bermula 21 Mei hingga 25 Jun, walaupun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya proses pengiraan nilai barang rampasan terpaksa mengambil masa yang lama kerana ia membabitkan beberapa pakar barang kemas dan pakar barang berjenama.

"Nilai barang rampasan dalam siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 billion.

"Barang kemas termahal yang dirampas dari serbuan ke premis berkaitan Najib ialah seutas rantai leher bernilai RM6.4 juta," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 30 kenyataan dari pelbagai pihak sudah diambil dan direkod polis bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sumber-sumber atau penyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 12:23pm
d