utama

Nama kukuh di seberang

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Biarpun bergelar adik kepada pelakon popular Miller Khan, Farali Khan atau Norfara Ali Dad Khan, 29, tidak pernah menggunakan kelebihan itu bagi mendapatkan tempat dalam industri hiburan.

Sebaliknya, darah seni dalam diri pelakon dan model jelita ini mengalir tenang mengikut acuan sendiri tanpa perlu bergantung kepada sesiapa pun.

“Saya tidak pernah mengambil kesempatan atas populariti Miller untuk masuk ke Indonesia sebaliknya ambil masa hampir setahun untuk bertapak di sana dan berusaha sama seperti orang lain.

“Saya menghadiri semua uji bakat filem dan sinetron. Selepas setahun, saya dapat peluang beraksi dalam filem 3 Dara pada tahun 2015,” kata Farali.

Katanya, tiga tahun berada di negara itu, dia akhirnya berpeluang menjayakan beberapa sinetron sekali gus mengukuhkan namanya di sana.

Namun begitu, kongsinya sepanjang tempoh itu tidak ramai tahu dia adik Miller kecuali beberapa penggiat seni tempatan.

Farali selesa kekal merendah diri kerana percaya rezeki bersifat peribadi dan lebih berharga jika diusahakan sendiri tanpa bergantung harap kepada orang lain.

Pada masa sama, pelakon jelita ini turut menafikan ada ikatan persaudaraan dengan penerbit filem popular Datuk Yusof Haslam mahupun pelakon Sabrina Ali Khan seperti pernah didakwa segelintir pihak.

Tegasnya, andaian itu mungkin tercetus susulan persamaan nama bapanya dengan pelakon, Sabrina Ali Dad Khan yang juga anak saudara pengarah itu.

“Agak lucu sebab kami tiada kaitan, Datuk Yusof bukan bapa saudara saya dan Syamsul serta Syafiq bukan sepupu. Mungkin orang kaitkan sebab persamaan nama bapa dengan Sabrina.

“Ikutkan saya belum pernah bertemu mereka biarpun nama besar dalam industri perfileman tetapi teringin juga bekerja dengan mereka satu hari nanti,” katanya.

Katanya, seandainya mereka ada pertalian darah, sudah tentu ibunya ada berkongsi mengenai perkara itu.

Farali mendedahkan, ibunya berketurunan Cina manakala arwah bapanya pula berketurunan Pakistan.

Disebabkan itu, dia berharap masyarakat tidak lagi salah faham dengan situasi itu kerana bimbang akan timbul implikasi tidak baik yang boleh memberi kesan kepada keluarganya dan keluarga Datuk Yusof.

Bercerita lebih lanjut mengenai keputusan bekerja di dua negara pada masa sama, pelakon yang pernah muncul dalam drama Black Belt Kaler Pink bergandingan bersama Kamal Adli dan Aaron Aziz tahun lalu berkata ia pilihan sendiri.

“Bekerja di sini dan sana tidak banyak beza, cuma mungkin sebab banyak beraksi di sana, kadang-kadang ada juga terlepas loghat Indonesia ketika beraksi di sini.

“Namun, ia bukan masalah dan saya gembira dapat kembali bekerja di negara sendiri. Apatah lagi jarak antara dua negara hanya dua jam dan tidak mendatangkan masalah buat saya,” katanya.

Selain drama Black Belt Kaler Pink, anak kedua daripada empat beradik itu pernah menjadi pelakon pembantu menerusi drama Bukan Cinta Malaikat dan Transit Terakhir.

Mahu lasak dan ‘comot’

Pelakon yang mahir bertinju ini memasang impian untuk mengikut jejak langkah pelakon Malaysia yang terkenal di Hollywood, Datuk Michelle Yeoh.

“Setiap tawaran yang datang perlu dijayakan sebaik mungkin dan ini saja peluang yang ada untuk saya buktikan kemampuan diri.

“Saya mahu ikut jejak langkah Michelle Yeoh yang berani mencabar diri dan meluaskan pengaruh ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Bakal muncul dengan filem aksi berjudul Kalla: Hidup Atau Mati arahan Wan Hasliza, Farali akui ia pengalaman yang menarik.

Katanya, produksi filem itu benar-benar menguji kemampuannya sebagai pelakon, terutama peluang untuk melakukan aksi sendiri.

“Saya bertuah kerana dapat bergandingan dengan Faizal Hussein, Vanidah Imran dan Azhan Rani. Malah saya teruja kerana dapat melakukan aksi lasak sendiri.

“Kali terakhir dapat lakukan aksi sendiri ketika penggambaran drama Black Belt Kaler Pink tetapi ia ringan-ringan saja,” katanya.

Sebagai pelakon dia tidak mahu hanya menonjol dengan karakter gadis lembut atau cantik semata-mata sebaliknya tidak kisah untuk tampil lasak dan comot.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 3:49am
d