utama

Kencing tupai buat aku rugi

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Jika kencing tikus atau leptospirosis ditakuti mereka yang mandi di sungai, kencing tupai pula dibimbangi pemilik dusun durian kerana menyebabkan buah itu membusuk dan gugur tanpa boleh dimakan.

Selain merosakkan durian dengan gigitan gigi yang tajam, tupai juga merosakkan buah kegemaran ramai itu apabila air kencingnya mudah menyebabkan buah menjadi buruk sebelum gugur.

Pemilik dusun durian, Abdullah Mahad, 48, berkata, haiwan itu dibimbangi bukan kerana kemampuannya mengopek buah dengan gigi, sebaliknya air kencing juga yang boleh menyebabkan pemilik dusun durian kerugian ribuan ringgit.

“Jika setakat gigit dan makan sedikit isi durian buah tidak akan menjadi busuk dan gugur, tetapi jika kencing pada buah itu, ia akan membusuk dan gugur.

“Saya terpaksa menjaga 15 pokok durian dengan menembak haiwan terbabit dari semasa ke semasa, terutama ketika kebanyakan pokok sudah mula berbuah lebat sekarang,” katanya ketika ditemui dusunnya di Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah, semalam.

Abdullah berkata, walaupun tidak menjadikan durian sebagai punca rezeki, buah itu tetap dipelihara daripada dirosakkan tupai.

“Jika hendak dijual pun, ia tidaklah membawa keuntungan seperti mereka yang menjadikannya sumber pendapatan utama, jadi lebih baik saya sedekahkan kepada saudara-mara atau yang datang dari jauh,” katanya.

Untuk membunuh tupai, Abdullah yang turut memiliki kebun getah, kelapa sawit dan kelapa menggunakan senapang patah.

“Jika saya tak tembak haiwan itu, saya tidak dapat menikmati buah durian hingga akhir musim. Sebelum saya kempunan, lebih baik saya musnahkannya,” katanya.

Beliau berkata, selepas satu das tembakan dilepaskan, lazimnya pokok durian tidak akan dipanjat tupai untuk beberapa ketika antara tempoh dua hingga tiga jam, tetapi selepas itu haiwan berkenaan akan ‘mengganas’ semula.

“Bagaimanapun, sebelum melepaskan tembakan, saya akan memastikan kawasan sekeliling pokok berada dalam keadaan selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 4:51am
d