utama

Sekepala 'hobi' jahanam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Berkongsi ‘hobi gila’ sama dengan menagih dan menyuntik heroin di rumah setiap hari.

Itu aktiviti maut tiga beradik lelaki yang dikesan menjadikan kediaman mereka di Kapar, Klang, Selangor sebagai ‘markas’ untuk melepaskan ketagihan dadah beramai-ramai.

Aktiviti tiga beradik itu bagaimanapun didedahkan penduduk kampung yang bertindak membuat aduan kepada pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Susulan maklumat diterima itu, sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Ibu Pejabat AADK melakukan operasi khas jam 11 malam kelmarin.

Jurucakap AADK berkata, hasil operasi dijalankan itu, seramai lima penagih dadah diberkas di dua kediaman berasingan.

“Dalam serbuan pertama, STRIKE menahan tiga beradik lelaki berusia 22 hingga 26 tahun hasil maklumat awam diterima. Dua beradik itu ditahan ketika berada di dalam bilik manakala seorang lagi berada di dapur.

“Ketiga-tiga beradik itu kemudian diarah menjalani ujian air kencing sebelum disahkan positif menagih heroin.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga beradik itu bekerja kampung selain turut menjadi pemotong rumput. Wang upah diperoleh digunakan untuk membeli dadah yang dikongsi beramai-ramai,” katanya.

Menurutnya, ibu tiga beradik itu kelihatan tenang dan seolah-olah tidak terkejut dengan penahanan semua anaknya itu.

“Ada kemungkinan dia mengetahui aktiviti dilakukan ketiga-tiga anaknya sebelum ini namun tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Ini adalah tangkapan terbaru dilakukan anggota STRIKE yang sebelum ini menahan tiga beradik yang turut dikesan menagih syabu di kediaman mereka di Kuang, Selangor.

Berdasarkan siasatan, suspek pernah menghalau ibunya dan menyebabkan wanita berusia 60-an itu terpaksa menghuni sebuah pondok kecil berhampiran kediaman berkenaan.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 4:54am
d