utama

Bekas suami pelakon direman SPRM

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BEKAS suami kepada seorang pelakon antara dua suspek yang direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 38 tahun itu bersama seorang lagi suspek berusia 37 tahun ditahan oleh SPRM di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan SPRM.

Jurucakap SPRM berkata, suspek dikatakan cuba memperdayakan seorang ahli politik bergelar Datuk kononnya mangsa kini dikaitkan dengan satu kes SPRM.

“Suspek cuba mengaitkan mangsa dengan satu kes SPRM yang tidak wujud dan meminta wang sebanyak RM1 juta daripada mangsa untuk menjadi perantara bagi menyelesaikan kes itu.

“Suspek turut mendakwa mengenali rapat seorang pegawai tinggi SPRM. Kedua-dua suspek dikatakan turut menggunakan surat rasmi kerajaan yang diperoleh daripada Internet bagi meyakinkan mangsa," katanya.

Katanya, SPRM turut merampas wang tunai RM50,000 dan dua telefon pintar daripada kedua-dua suspek serta beberapa dokumen berkaitan.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 1:56pm
d