utama

Berkorban demi ayah

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Demi menjaga sepenuh masa bapanya yang lumpuh, seorang wanita sanggup berhenti kerja sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah kolej sejak tiga tahun lalu.

Siti Salmiza Md Azmi, 38, berkata, dia tidak pernah menyesal mengambil keputusan itu kerana nekad mahu meringankan beban ibunya, Siti Bidah Ismail, 62, dan mereka bersama-sama menjaga ayahnya, Md Azmi Daud, 67, yang lumpuh sebelah kanan badan.

Menurutnya, ayahnya diserang angin ahmar kira-kira lima tahun lalu kerana darah tinggi yang kronik tetapi sejak setahun lalu mula hilang upaya untuk berjalan dan ingatannya semakin lemah hingga kadangkala tidak mengenali orang sekelilingnya.

“Sebelum ini, ibu membuka kedai runcit untuk mencari pendapatan tambahan tetapi setahun lalu kedai terpaksa ditutup kerana perlu beri tumpuan untuk menguruskan ayah yang tiada upaya.

“Setiap hari saya dan ibu, adakalanya dibantu suami saya bergilir-gilir menjaga ayah termasuk menyuapkan makan dan minum serta memandikannya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Kok Lanas di sini, semalam.

Siti Salmiza yang mempunyai empat anak berkata, bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga dan meringankan beban suaminya, dia mengambil upah menjahit pakaian di rumah.

“Pendapatan yang diperoleh setiap bulan tidak menentu iaitu antara RM500 hingga RM600 dan bergantung permintaan pelanggan.

“Saya perlu bijak mengatur kewangan kerana selain perlu memperuntukkan keperluan untuk ayah setiap bulan, perlu juga urus perbelanjaan tiga anak yang masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, walaupun ayahnya mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, ia tidak mencukupi untuk membeli semua keperluannya.

“Dalam sebulan, kami perlu membelanjakan lebih RM500 untuk membeli lampin pakai buang dan juga ubat-ubatan untuknya,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 4:59am
d