utama

'Bergaduh dari pub sampai ke hospital'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TERLANGGAR bahu dalam keadaan mabuk di sebuah pub di Mount Austin, Johor Bahru mencetuskan pertengkaran dua kumpulan lelaki yang berlarutan kepada pergaduhan sehingga ke Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.

Dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, lelaki yang juga ‘runner’ berusia 31 tahun bersama dua rakannya berusia 20 dan 28 tahun pergi ke pub berkenaan untuk berhibur bersama rakan lain.

Bagaimanapun, ketika ingin keluar dari pusat hiburan itu, mangsa dihalang sekumpulan kira-kira 15 lelaki sebelum berlaku kekecohan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula dari pub itu ketika masing-masing hendak keluar daripada bangunan berkenaan.

“Ada yang terlanggar bahu dan akibat mabuk berlaku perbalahan mulut dan melarat hingga bergaduh. Tiga mangsa berkenaan berjaya melarikan diri dan pada jam 5 pagi, mereka ke HSI untuk melawat dua rakan yang cedera dalam kejadian di pub itu.

“Apabila tiba di hadapan wad kecemasan hospital berkenaan, terdapat sekumpulan lelaki tidak dikenali mengekori kereta mangsa dengan seorang daripadanya masuk ke dalam kereta Mercedes C200 untuk melarikan kenderaan terbabit.

“Empat suspek lelaki yang menaiki sebuah Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran belum dikenal pasti turun daripada kereta itu sambil membawa kayu hoki dan rotan,” katanya.

Menurutnya, suspek cuba merampas kereta milik mangsa, namun lelaki itu berjaya menarik stereng sehingga kenderaan terbabit hilang kawalan dan melanggar tiang di hospital mengakibatkannya rosak di bahagian hadapan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, seorang mangsa cedera di dahi, seorang lagi cedera pada jari kanan, manakala seorang lagi mangsa tidak cedera.

Katanya, sehingga kini, empat suspek berusia antara 20 hingga 30-an ditahan di sekitar bandar raya ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 7:09pm
d