utama

'Dia terjerut, bukan main-main gantung diri'

Oleh Junaidi Ladjana

KANAK-KANAK lelaki ditemui mati apabila lehernya dipercayai terjerut pada tali buaian adiknya di ruang tamu rumah keluarganya di Kampung Makakagas, Tenom, semalam.

Mangsa Chris Danny Jeffery, 10, murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, Tenom ditemui oleh bapanya dalam keadaan tergantung, pada jam 4.30 petang.

Bapa mangsa Jeffrey Musa, 40-an, berkata ketika kejadian dia sedang tidur bersama isteri di bilik selepas pulang mengambil Danny dan dua anaknya di kelas tuisyen sekolah.

“Saya terjaga selepas abang kepada Danny berlari ke ruang tamu lalu melihat anak saya (Danny) tergantung pada tali buaian dalam keadaan mukanya pucat. Ketika itu, saya tidak sanggup mengejutkan isteri kerana bimbang dia akan pengsan jika melihat situasi itu.

“Saya kemudian terus memeluk Danny dan melepaskan ikatan tali pada lehernya sebelum mengejutkan isteri lalu bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Tenom.

“Doktor kemudian mengesahkan Danny sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, buaian itu jarang digunakan kerana adik mangsa sudah pun berusia tiga tahun.

“Saya tidak tahu Danny menggunakan buaian itu untuk bermain, jika tidak saya tentu membuangnya... saya hanya mengetahui apabila abang Danny memaklumkan dia (Danny) beberapa kali bermain di buaian itu.

“Danny seorang yang suka kepada aktiviti lasak dan aktif bermain bola sepak, bola keranjang dan lumba lari,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey menafikan punca kematian Danny yang tular di aplikasi WhatsApp dipercayai bermain-main dengan menggantung diri.

“Danny hanya bermain di buaian berkenaan dan bukannya main-main gantung diri.

“Kami sekeluarga masih bersedih dengan apa yang berlaku kerana Danny seorang anak yang baik dan ceria... kehilangannya amat kami rasai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom Mohd Firdaus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 8:48pm
d