utama

'Dakwaan orang tak siuman'

Oleh Michelle Gun

Aktres jelita Scarlett Johansson menafikan dakwaan pernah menghadiri uji bakat untuk menjadi kekasih Tom Cruise.

Dakwaan itu dikeluarkan bekas penganut Scientology, Brendan Tighe yang mendedahkan Scarlett antara wanita yang ditemu bual Cruise selepas bercerai dengan Nicole Kidman.

Menurut The Hollywood Reporter, Scarlett dalam satu kenyataan menegaskan dakwaan itu hanya dilakukan orang kurang siuman.

“Mengeluarkan kenyataan seseorang mengikuti sesi uji bakat untuk bercinta adalah sangat tidak masuk akal.

“Saya tidak akan membenarkan sesiapa pun menyebarkan cerita merapu ini,” katanya.

Rabu lalu, Tighe ketika menghadiri program bual bicara Megyn Kelly Today mendakwa menemui satu laporan senarai wanita yang pernah menghadiri uji bakat untuk menjadi teman wanita Cruise.

Katanya, pada waktu itu dia anggota unit sekuriti Scientology dan nama Scarlett ada dalam senarai itu.

Dakwa Tighe lagi, laporan itu disalah hantar ke mesin pencetaknya, namun hanya mengenali nama Scarlett.

Bagaimanapun, pihak Scientology menafikan dakwaan Tighe.

Dalam perkembangan lain, Scarlett mengesahkan akan menjayakan watak Black Widow dalam filem solo adiwira itu.

Buat masa ini, filem Black Widow masih di peringkat awal pembikinan, malah skrip sedang ditulis.

Ia prekuel dan berlatarkan era Perang Dingin (80-an).

Black Widow yang turut dikenali sebagai Natasha Romanoff membuat kemunculan sulungnya dalam filem Iron Man 2.

Adiwira itu kemudian diangkat sebagai watak utama dalam siri filem Avengers dan Captain America.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 4:05am
d