utama

'Maduku budak 11 tahun'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

USIANYA baru 11 tahun, tapi mengejutkan apabila bergelar isteri orang selepas berkahwin dengan peraih getah berusia 41 tahun, baru-baru ini.

Perkahwinan dipercayai berlangsung di selatan Thailand itu tular selepas isteri kedua lelaki berkenaan memuat naik beberapa status dan gambar di laman sosial Facebook miliknya yang memaklumkan perkahwinan membabitkan suaminya itu.

Berdasarkan status dimuat naik, wanita berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada suaminya selain menyindir lelaki itu yang sanggup berkahwin lain sedangkan dia dan empat anak dipinggirkan.

Status dimuat naik wanita berkenaan menjadi tular malam tadi sehingga menjadi bualan ramai di Facebook dan ada netizen berpendapat lelaki berkenaan tidak sepatutnya berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur.

Lelaki itu sudah mempunyai dua isteri sebelum ini dan mempunyai enam cahaya mata.

Difahamkan, isteri pertama dan kedua serta kanak-kanak itu tinggal di Gua Musang dan budak berusia 11 tahun adalah kenalan kepada anak isteri pertama.

Usaha untuk menemuramah isteri kedua gagal apabila wanita berkenaan enggan selain sudah memadamkan semua status yang dimuat naik sejak malam tadi.

Berdasarkan status dimuat naik isteri kedua memaklumkan, hasil perkahwinan dengan suaminya itu mereka mempunyai empat anak, manakala isteri pertama dua anak.

Malah, katanya, status berkenaan perkahwinan terbaharu suaminya dimuat naik selepas dia berbincang dengan isteri pertama terlebih dahulu.

Status berkenaan turut memaklumkan dia sudah merujuk perkahwinan suaminya itu kepada Mahkamah Syariah, ustaz dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan untuk siasatan lanjut.

Akhbar pada 2010 turut melaporkan satu kes yang hampir sama iaitu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menanggung tekanan selama lapan bulan selepas didakwa dinikahkan oleh ayahnya sendiri dengan lelaki berusia 41 tahun.

Mahkamah Syariah kemudian memutuskan perkahwinan kanak-kanak itu dengan lelaki berkenaan tidak sah.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 12:45pm
d