utama

Siapa paling tepat

Oleh Daily Mail

London: Sejak seekor sotong kurita yang dikenali sebagai Paul menjadi popular selepas meramal dengan tepat keputusan termasuk perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang dimenangi Sepanyol kini beberapa haiwan muncul untuk edisi di Russia.

Pada Piala Dunia kali ini, tiga haiwan iaitu seekor kucing, gajah dan khinzir menjadi tumpuan selepas membuat beberapa ramalan tepat sebelum dan ketika kejohanan itu bermula.

Kucing yang dikenali sebagai Achilles yang tinggal di St Petersburg, Russia mula terkenal selepas membuat beberapa ramalan tepat pada kejohanan Piala Konfederasi pada tahun lalu.

Achilles yang bertugas menangkap tikus di Muzium Hermitage, St Petersburg diberikan dua mangkuk makanan yang diletakkan bendera Russia dan Arab Saudi menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia lalu.

Kucing itu mengambil makanan di dalam mangkuk yang diletakkan bendera Russia dan dalam perlawanan berkenaan pasukan itu menang 5-0 terhadap Arab Saudi.

Di Jerman pula, seekor gajah dikenali sebagai Nelly mengambil sepakan penalti di Zoo Serengeti Park di Hodenhagen, Jerman untuk membuat ramalan.

Gajah itu menyepak masuk dua bola ke gol yang mempunyai bendera Jerman bagi meramal perlawanan menentang Mexico.

Bagaimanapun, ramalan itu meleset apabila Jerman tewas 1-0 dalam perlawanan berkenaan dan lebih buruk lagi pasukan berkenaan gagal melepasi peringkat kumpulan.

Khinzir yang dikenali sebagai Marcus adalah paling mencuri tumpuan apabila berjaya meramalkan kemenangan Jerman dalam Piala Dunia 2014 selain meramal dengan tepat keputusan kejohanan tenis Wimbledon, pilihan raya Amerika Syarikat dan pungutan suara Brexit.

Kali ini, Marcus meramalkan pasukan mana yang berjaya masuk ke peringkat separuh akhir dengan memakan epal yang diletakkan dengan bendera semua pasukan bertanding.

Berita buruk untuk penyokong Brazil dan England apabila Marcus meramalkan Belgium, Argentina, Nigeria serta Uruguay yang bakal layak.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 7:14am
d