utama

'Tolong berikan saya kerja...'

Oleh Norasikin Daineh

“SAYA 'post' status mencari kerja itu dalam Facebook (FB) pada Khamis lalu, dan ia dikongsi beberapa rakan dengan menyertakan gambar saya duduk di kerusi roda.

“Sejak itu, saya terima banyak panggilan daripada pelbagai pihak yang menawarkan kerja,” kata Annasira Elias, 22, gadis cantik berkerusi roda yang tular di laman sosial selepas berkongsi status sedang mencari pekerjaan.

Annasira berasal dari Keningau berkata, dia pernha menghadiri temuduga sebagai kerani di Penampang, dan satu lagi tawaran daripada pemilik kedai namun setakat ini belum menerima sebarang kerja daripada mana-mana pihak.

“Sabtu lalu, saya bersama seorang rakan sudah ditemuduga di sebuah syarikat di Penampang dan kami kini menunggu panggilan (jika diterima bekerja).

“Selain itu, saya mendapat satu lagi tawaran daripada sebuah kedai yang baru mahu beroperasi, namun sehingga kini belum dipanggil untuk temuduga,” katanya kepada NSTP.

Annasira yang kini mengikuti kursus kemahiran menjahit di Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kimanis berkata, dia mencari kerja kerana mahu membantu keluarganya.

“Sejak menjalani kursus, keluarga banyak memberi sokongan termasuk kewangan dan saya rasa sudah tiba masanya untuk membalas jasa mereka dengan bekerja sendiri. Selain itu, saya mahu berdikari sekali gus tidak mahu menyusahkan mereka,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia terpaksa bergantung dengan kerusi roda, Annasira berkata, dia terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Januari 2015 bersama dua sepupunya.

“Kenderaan yang kami naiki terbabit dalam kemalangan selepas mengelak haiwan di sebuah kampung di Keningau. Akibat kejadian itu, tulang belakang saya patah dan urat koyak. Kecederaan itu boleh sembuh, namun mengambil masa dan saya kini boleh juga berjalan menggunakan tongkat,” katanya.

Katanya, sejak tiga tahun ini dia terpaksa bergantung dengan kerusi roda dan tongkat selain turut mendapatkan rawatan fisioterapi.

“Bagaimanapun, apa yang saya hadapi bukan halangan untuk mencari kerja atau tidak boleh bekerja. Normal atau tidak (OKU), kalau sudah niat untuk mencari kerja halal, pasti dapat dilakukan.

“Selain itu, kita perlu buang rasa malu dengan keadaan diri dan majikan pula harus percaya orang seperti kami ada kemampuan tersendiri,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 2:16pm
d