utama

Lambaian sayonara Jepun

Oleh Reuters

MOSCOW: Belgium bangkit ketinggalan dua gol untuk menewaskan Jepun 3-2 dalam masa kecederaan menerusi jaringan pemain gantian Nacer Chadli di Rostov-On-Don sekali gus mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia bertemu Brazil.

Belgium muncul pasukan pertama bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memenangi perlawanan kalah mati di Piala Dunia sejak Jerman menewaskan England 3-2 dalam masa tambahan di Mexico pada 1970 dengan Belgium diancam lawan yang mempamerkan permainan menarik dan ampuh bertahan.

Belgium yang berada diranking ketiga dunia, 58 tangga lebih baik berbanding Jepun bangkit pada babak kedua aksi di Arena Rostov selepas ketinggalan menerusi jaringan Genki Haraguchi dan Takashi Inui.

Namun pertahanan, Jan Vertonghen menebus kesilapan yang mencetus jaringan pertama Jepun meledak jaringan menerusi tandukan lambung pada minit ke-69 disusuli Marouane Fellaini menyamakan kedudukan untuk Belgium pada minit ke-74, kurang 10 minit dimasukkan bagi menggantikan Dries Mertens.

Ketika Jepun memberi tekanan memburu kemenangan, Belgium menerusi satu serangan balas pantas pada masa kecederaan dan tindakan bijak Romelu Lukaku membiarkan bola terus kepada Chadli untuk merembat bagi meraih kemenangan minit akhir.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 4:51am
d