utama

Tingginya...

Oleh Agensi

Beijing: Baru berusia 11 tahun, namun ketinggian seorang budak lelaki di China kini mencecah 2.06 meter menyebabkan dia kelihatan terlalu tinggi berbanding rakannya.

Saiz fizikal yang agak luar biasa itu menyebabkan Ren Keyu atau nama panggilannya, Xiaoyu, menjadi perhatian murid lain di sekolahnya di bandar Leshan, wilayah Sichuan.

Rakan menggelarnya ‘Yao Ming kecil’ sempena nama bekas pemain bola keranjang terkenal China yang mempunyai ketinggian 2.29 meter.

Rakaman video yang disebarkan Chengdu Business Daily menunjukkan dia kelihatan terlalu tinggi ketika bermain dan berborak dengan rakan sekelasnya.

Menurut laporan Daily Mail, ketinggiannya itu sudah melebihi ketinggian purata pemain bola keranjang liga Amerika, NBA, dengan beza lima sentimeter malah dia juga lebih tinggi tiga sentimeter berbanding bintang NBA, LeBron James, 33.

Menurut Xiaoyu, dia sentiasa berada dalam keadaan tidak selesa kerana kepala sering terhantuk bingkai pintu dan besi pemegang tangan dalam bas.

Menurutnya, orang ramai juga sering melihatnya dengan pandangan pelik.

“Saya tidak selesa dengan keadaan itu namun menjadi orang tinggi ada kelebihannya.

“Saya boleh membantu guru membersihkan papan hitam dan menolong rakan sekelas mengambil barang di tempat tinggi,” katanya.

Dia juga turut membantu membersihkan tingkap dan kamera keselamatan yang dipasang di sekolah.

Ketinggian luar biasa itu bukan disebabkan masalah kesihatan dan keluarganya mempertimbangkan untuk mendapatkan pengiktirafan Rekod Dunia Guinness sekiranya Xiaoyu bersetuju.

Keadaan tubuhnya yang bersaiz ‘gergasi’ menyebabkan pihak sekolah terpaksa membuat kerusi dan meja khas untuk digunakannya.

Gurunya, Xu Hong berkata, dia menyangka muridnya itu tersilap masuk kelas pada hari pertama persekolahan tahun satu.

“Dia amat tinggi berbanding murid lain. Saya suruh dia naik ke tingkat atas kerana menyangka dia pelajar senior,” katanya.

Ketinggian Xiaoyu berkemungkinan diwarisi secara genetik kerana ibunya mempunyai ketinggian 1.9 meter, manakala bapanya hampir 1.8 meter.

Pemeriksaan di hospital mendapati paras hormon ketumbuhan dan kelenjar pituitarinya normal dan doktor memberitahu dia tidak mengalami masalah kesihatan.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 8:36am
d