utama

'Ibu temui ajal selepas bergelut dengan anak lelaki'

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Khalidah Mohd Darus maut dipercayai akibat dihentak dengan objek keras selepas bergelut dengan anak lelakinya.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 8 malam semalam di rumah mangsa di Taman Warisan Indah, Kota Warisan, Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ketika kejadian, hanya mangsa, 60, dan suspek, 25, yang juga pesakit mental berada di rumah, manakala anak sulungnya di tempat kerja.

Katanya, suami mangsa pula hanya pulang ke kediaman itu pada hujung minggu kerana bertugas di Johor Bahru.

“Suspek mempunyai masalah kesihatan mental sejak lahir dan perlu menjalani rawatan serta mengambil ubat setiap hari bagi mengawal masalah dialami.

“Rawatan terbaru diambil oleh suspek kira kira dua minggu lalu dan suspek juga tidak menunjukkan sebarang masalah kerana sering dikawal oleh ahli keluarganya,” katanya kepada media di Sepang, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan diserang oleh suspek sebelum berlaku pergelutan berdasarkan kesan darah yang ditemui di beberapa lokasi di tempat kejadian.

“Kesan pergelutan terdapat pada dinding pintu masuk rumah, kesan darah di sofa serta kesan tompokan darah dalam bilik tidur bersebelahan dapur.

“Suspek dipercayai sempat menggunakan mop untuk mengelap kesan darah apabila terdapat titisan air bercampur darah di dapur, bilik dan ruang tamu.

“Tiada pergerakan atau kesan lain di tempat kejadian dan di tingkat satu dan dua rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada sebarang kesan tikaman terhadap mangsa.

“Mangsa didapati mengalami kesan lebam pada kedua tangan, perut, patah gigi serta lebam pada bibir kesan dipercayai akibat hentakan kuat, manakala hidung mangsa juga disyaki patah selain mengalami luka kecil di dahi.

“Setakat ini, tiada saksi bebas yang melihat kejadian dan pengadu hanya tiba di rumah berkenaan selepas kejadian lalu terus menghubungi abang tirinya dalam keadaan cemas sebelum menghubungi Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk memaklumkan kejadian,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat manakala suspek juga dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 2:02pm
d