utama

Kematian Adam Rayqal begitu tragis - Datuk

Oleh Malik Muhamad

“SAYA begitu terkilan dan sedih sangat kerana kematian cucu saya (Adam Rayqal Mohd Sufi) begitu tragis apabila mayatnya ditemui di bahagian sejuk beku peti sejuk.”

Begitu kata Mohd Fauzi Jusoh, 61, datuk kepada Adam Rayqal, lima bulan, yang pada mulanya dilaporkan hilang sebelum ditemui mati di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Mohd Fauzi berkata, kematian cucu keduanya itu dalam keadaan menyayatkan hati sekali gus tidak boleh diterima akal sama sekali.

“Lebih menyedihkan pada bulan puasa baru-baru ini, cucu saya itu tinggal selama sebulan bersama dengan saya di Chendering, Terengganu dan pasti kehilangannya begitu dirasai.

“Oleh itu saya berharap hukuman setimpal dikenakan kepada mereka yang melakukan perbuatan kejam yang jelas tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi yang juga bapa kepada Mohd Sufi Naeif yang kini menetap di Chendering, bagaimanapun reda dengan peristiwa hitam yang berlaku dalam keluarganya itu dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

“Adam sebelum ini diletakkan di rumah pengasuh lain, namun hanya kira-kira lima minggu saja kerana tidak sesuai sebelum menantu dan anak menyerahkannya kepada pengasuh terbabit.

“Sebelum menghantar Adam di rumah pengasuh baru itu, anak saya ada maklum kepada saya mengenai hasratnya dan dalam hati saya ingatkan dia mengenali pengasuh berkenaan.

“Namun yang berlaku adalah sebaliknya sehingga berakhir dengan kematian. Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan mengenai punca sebenar kematian cucu saya itu,” kata bekas pegawai bank itu yang menerima takdir berkenaan dengan hati terbuka.

Jenazah Adam dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang, Kuala Terengganu, hari ini selepas semua urusan selesai di Hospital Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Suspek kes Adam Rayqal direman bantu siasatan

[UPDATE] Ibu bapa Adam Rayqal buat pengecaman

[UPDATE] Adam Rayqal ditemui mati di rumah pengasuh

Kembalikan anak kami...

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 3:22pm
d