utama

Cedera jalani babak aksi

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun mahu dikenali sebagai pelakon berkaliber, Sangeeta Krishnasamy, 32, akur dengan kecederaan ringan dialaminya.

Sangeeta mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri ketika menjalani penggambaran drama 12 episod, Banteras.

Sangeeta berkata insiden itu berlaku kerana kealpaan dirinya.

“Bukan saya tidak utamakan keselamatan, tetapi seronok sangat dapat melakukan babak aksi sendiri.

“Jadi, barangkali terlalu teruja membuatkan saya terlepas pandang. Bagaimanapun, pengalaman ini sangat berharga.

“Saya tidak kesal dengan kecederaan ini kerana memang rela hati melakukan sendiri babak aksi itu,” katanya.

Menurut Sangeeta, biarpun pihak produksi ada menyediakan pelakon aksi dia berkeras mahu melakukannya sendiri.

“Ia satu pengalaman baru buat saya. Ternyata, bukan mudah untuk bergelar pelakon yang bagus.

“Bagaimanapun, saya sangat puas hati dapat melakukan babak aksi bergaduh tanpa menggunakan bantuan pelakon aksi.

“Ia bagi memenuhi tuntutan watak anggota pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sangeeta sebelum ini pernah membintangi filem Adiwiraku dengan membawakan watak guru.

Menerusi watak itu juga, dia berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29.

Tidak pernah mendabik dada dengan pengiktirafan itu, Sangeeta berkata kembara seninya masih jauh.

“Apa yang pasti, saya suka melakonkan watak yang memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Watak saya sebagai anggota pasukan SPRM misalnya, banyak pengalaman baru dan berharga ditimba.

“Saya sangat berterima kasih dengan sutradara Ghaz Abu Bakar kerana sudi memberikan peluang,” katanya.

Biarpun menjalani penggambaran drama Banteras agak memenatkan, ia tidak pernah membuatkan Sangeeta serik.

“Bagi saya, bukan mudah mendapat peluang dan kepercayaan. Jadi, apabila memperolehnya saya harus laksanakan tugas sebaik mungkin. Lagipun, saya bertuah kerana bergandingan dengan barisan pelakon hebat dan komited.

“Boleh dikatakan, kami saling membantu serta memberi semangat di antara satu sama lain,” katanya.

Drama Banteras memaparkan kisah kecekalan pasukan SPRM dalam menjalankan siasatan kes rasuah.

Selain Sangeetha, drama ini dibintangi Khir Rahman, Kamal Adli dan Zahiril Adzim.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 9:07am
d