utama

'Mereka jadikannya luar biasa'

Oleh Najiy Jefri

Meskipun kisah berkaitan adik-beradik jarang diketengahkan di pawagam, ia mampu meninggalkan impak yang besar di hati penonton.

Buktinya dapat dilihat menerusi karya hebat dari Thailand, Brother Of The Year yang kini menemui penonton tempatan. Lebih menarik, karya arahan Vithaya Thongyuyong itu dinobatkan sebagai filem nombor satu di Thailand sejak ditayangkan tahun lalu.

Diterajui tiga nama iaitu Sunny Suwanmethanont, Urassaya Sperbund dan anggota kumpulan 2 PM, Nichkhun Horvejkul, filem berdurasi 125 minit itu bukan sekadar menggeletek hati penonton dengan aksi lucu teraju utama tetapi mampu menyentuh hati hingga mengalirkan air mata.

Berpeluang bertemu tiga bintang utama dan pengarah filem itu baru-baru ini, banyak detik indah dikongsi mereka hingga berjaya menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat sekali gus mencetuskan fenomena.

Menurut Vithaya, selaku pengarah dia tidak menyangka filem terbabit mendapat sambutan luar biasa.

“Semua ini ibarat mimpi. Ketika penggambaran berlangsung saya cuba buat yang terbaik bagi memastikan filem ini dekat dengan dengan jiwa penonton.

“Sebenarnya, saya perlu berterima kasih kepada tiga bintang utama filem ini yang berjaya menjiwai setiap karakter dengan berkesan. Mereka inilah yang menghidupkan filem ini dan menjadikannya luar biasa,” katanya seraya memaklumkan pemilihan setiap pelakon dibuat berdasarkan skrip.

Sunny berkata, watak yang dilakonkan sesuai dengan dirinya selain banyak dibantu dua rakan gandingannya.

“Seronok berlakon dengan Yaya (Urassaya) dan Nichkhun. Saya tidak rasa keseorangan kerana masing-masing memberikan persembahan terbaik bagi memastikan filem ini dapat menyentuh emosi penonton.

“Malah pengarah dan kru produksi memberi saya kebebasan untuk berkarya selagi tidak mengganggu jalan cerita. Sejak dulu saya tidak berapa suka terikat dengan skrip,” katanya.

Menjadi adik kepada Sunny, Urassaya atau lebih dikenali sebagai Yaya berkata banyak pengajaran diselitkan dalam naskhah ini.

“Pengajaran paling berharga yang saya kutip dalam filem ini adalah sentiasa menyayangi keluarga dan jangan sisihkan adik-beradik.

“Saya sebak setiap kali menjayakan babak sedih. Mungkin disebabkan saya anak bongsu, hati mudah tersentuh.

“Ada banyak elemen kejutan yang bakal disaksikan menerusi filem ini. Kami habiskan banyak masa dan tenaga untuk memenuhi tuntutan watak dan berharap penonton sukakannya,” kata Yaya.

Sementara itu, Nichkhun menjelaskan cabaran terbesar melakonkan filem itu adalah memastikan sebutan bahasa Thailand diungkap dengan betul kerana sudah lama menetap di Korea Selatan.

Dia bersyukur kerana Sunny dan Yaya banyak membantu membetulkan sebutannya kerana ada babak dia menggunakan bahasa ‘rojak’.

“Saya sangat teliti dan teratur apabila bekerja. Mujur produksi filem memahami cara kerja saya, malah sepanjang penggambaran tiada masalah besar berlaku sebaliknya kami bekerja dalam suasana harmoni.

“Bagaimanapun, cabaran terbesar buat saya adalah menyebut dialog dengan betul. Ini kerana saya sudah lama menetap di luar negara dan bahasa Thailand saya sangat teruk.

“Jadi sebelum penggambaran bermula, saya banyak membaca supaya tidak membuang masa pihak produksi dan merosakkan mood pelakon lain,” katanya.

Kata Nickhun, banyak dipelajari ketika penggambaran termasuk lakonan bukan sekadar membaca dan menghafal skrip.

“Saya akui tidak banyak pengalaman sebagai pelakon. Saya baru sedar berlakon bukan hanya baca skrip, tetapi lebih kepada bertukar emosi dan bertindak mengikut reaksi yang diberikan pelakon lain,” katanya.

Brother Of The Year mengisahkan Chut dan Jane adik-beradik mempunyai personaliti berbeza. Chut selalu gagal manakala Jane pula sentiasa berjaya dalam apa yang dilakukan.

Sebagai abang, Chut sentiasa melindungi adiknya terutama dalam hal membabitkan percintaan.

Apabila Jane menjalin hubungan dengan jejaka kacukan Jepun bernama Moji, dia menyembunyikan hubungan itu daripada pengetahuan Chut.

Konflik mula timbul apabila Moji melamarnya. Jane perlu pindah ke Jepun dan dia yakin Chut pasti tidak bersetuju dengan hasratnya itu.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 9:18am
d