utama

[UPDATE] Kejam, mayat dikerat dalam dua bagasi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MAYAT dipercayai wanita ditemui dalam keadaan mengerikan apabila dikerat beberapa bahagian sebelum anggotanya diletakkan dalam dua bagasi di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, mayat berkenaan ditemui dalam dua bagasi selepas satu daripadanya ditemui seorang lelaki yang sedang menyiram pokok apabila terlihat kaki terkeluar dari sebuah bagasi itu pada jam 12 tengah hari.

Pemeriksaan polis di lokasi menemui sebuah lagi bagasi terletak kira-kira 50 meter dari lokasi bagasi pertama ditemui lelaki berkenaan.

Pihak polis turut menemui sebuah bagasi lain di tebing bersebelahan dengan lokasi penemuan bagasi pertama, namun hanya mengandungi pakaian.

Pemeriksaan terhadap bagasi pertama menemui bahagian tangan, kaki dan kepala, manakala bagasi kedua pula mengandungi bahagian badan mangsa.

Pasukan bomba turut berada di lokasi bagi membantu polis membawa keluar mayat berkenaan pada jam 2 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada dua lelaki dan seorang wanita dipercayai gelandangan berusia 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada anggota badan yang ditemui dalam kedua-dua bagasi berkenaan adalah daripada individu sama.

“Malah, identiti dan jantina mayat berkenaan belum dapat dikenal pasti,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita berkaitan

Dua mayat ditemui dalam bagasi

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 5:45pm
d