utama

Zoey tak rasa tergugat

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun semakin ramai hero baru yang muncul, ia sedikit pun tidak menggugat Zoey Rahman.

Pelakon dan pengacara berusia 32 tahun ini masih ligat menerima tawaran berlakon termasuk diberi peluang menjadi hero.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, dia bersyukur kerana nama dan bakat seninya tetap diterima baik.

Walaupun tak dinafikan kini bidang lakonan didominasi ramai hero baru, yang lama masih mendapat perhatian.

Katanya, situasi yang berlaku juga tidak membuatkan dia berasa dirinya sudah’ jatuh taraf’ serta layak melakonkan watak pembantu saja.

“Setakat ini, saya tidak melihat situasi diri sudah ‘jatuh taraf’ untuk terus mendapat peluang menjadi hero dalam drama. Pencapaian saya dalam karier lakonan masih baik dan tetap diberi peluang untuk watak utama hingga kini. Apa yang pasti saya sama sekali tidak bersikap cerewet memilih tawaran berlakon,” katanya.

Lebih sedekad menceburi bidang seni, Zoey berkata, dia juga aktif dalam perniagaan untuk jaminan masa depan.

Namun begitu, fokus utama tetap pada bidang seni sama ada dalam lakonan atau pengacaraan.

Zoey kini muncul dengan drama terbaru, Cik Sempurna di TV3 setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam.

Dalam drama 26 episod itu, Zoey berganding de­ngan pelakon lain seperti Azrel Ismail, Emma Maembong dan Dayang Areeda sebagai watak utama.

Terdahulu, nama Zoey melonjak menerusi drama komedi, Mat Rukun yang ditayangkan di TV9 tahun lalu.

Mengulas mengenai sisi peribadinya, Zoey berkata, dia masih solo dan belum bertemu teman untuk menjadi pasangan hidup.

“Saya hanya mampu berdoa semoga suatu hari nanti akan dipertemukan jodoh dan hidup berkeluarga. Pada usia sudah mencecah 30-an ini, saya sudah sedia untuk berumah tangga tetapi calonnya masih belum ada. Apapun, soal jodoh biarlah Allah SWT yang menentukannya dan kehidupan tetap diteruskan.

“Masa saya pun kini padat dengan karier seni dan perniagaan. Bagi saya, apa yang dimiliki ini patut disyukuri,” katanya.

Mengulas juga mengenai pembabitannya sebagai pelakon di Indonesia, Zoey berkata, dia ada menerima satu tawaran.

“Kemungkinan besar saya akan menerima tawaran berlakon itu. Cuma, semuanya perlu diurus dengan teliti.

“Dalam soal ini, saya perlu membuat perancangan yang betul supaya tidak membuang masa untuk menunggu peluang tak pasti,” katanya.

Zoey yang pernah melonjak dengan program Gerak Geri Gasing di Astro berkata, dia juga tidak menolak untuk melakonkan watak antagonis atau jahat.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 10:51am
d