utama

Biarkan saja dakwaan orang

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun didakwa sudah berkahwin, penyanyi remaja meningkat naik, Tajul Ariff, 20, tetap tegas menafikannya.

Malah, Tajul enggan terlalu memikirkan spekulasi peribadinya yang timbul secara tiba-tiba itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu ini berkata, spekulasi perkahwinan itu sama sekali tidak menjejaskan kerjaya seninya.

“Syukur alhamdulillah, perjalanan kerjaya masih lancar dan sibuk memenuhi undangan menyanyi.

“Bagi saya, dalam keadaan sekarang ini memantapkan kerjaya lebih utama berikutan single solo ketiga, Hasrita pun baru dilancarkan,” katanya.

Tatkala ditanya mengenai fotonya dan ‘kekasih’ dikenali sebagai Nurul Syamieza Eddie ceria bersama keluarga kedua-dua pihak, Tajul berkata, ia diambil ketika majlis tahlil di rumahnya.

“Ia bukan foto mengenai majlis pernikahan saya. Ia foto yang kami ambil ketika dia dan keluarganya datang ke majlis tahlil di rumah ibu saya.

“Jadi, apa saja dakwaan dan tanggapan orang terhadap foto itu, saya lebih selesa biarkan saja. Saya tidak mahu terlalu ambil peduli kerana keutamaan kini kepada kerjaya nyanyian,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari ini, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mencampuradukkan antara peribadi dan kerjaya.

“Saya tahu gosip dan kisah peribadi seseorang selebriti pasti menjadi perhatian ramai namun saya sebenarnya memilih untuk lebih dikenali melalui bakat berbanding soal peribadi.

“Lagipun, saya tahu hingga kini sokongan yang diterima daripada peminat kerana populariti lagu saya.

“Terima kasih kerana menerima baik lagu dan kemunculan saya dalam bidang nyanyian ini,” katanya.

Selama dua tahun aktif sebagai penyanyi rakaman, Tajul sudah muncul dengan tiga single solo dan dua lagu duet bersama penyanyi Wany Hasrita.

Antara single dihasilkan ialah Sedalam Dalam Rindu, Melamar Rindu, Hasrita, Di Sana Cinta Di Sini Rindu dan Rindu Dalam Benci.

Malah, baru-baru ini Tajul tampil dengan lagu Esok Hari Raya yang video muziknya di YouTube mencatat 1.1 juta tontonan.

Nama kian kukuh

Pembabitan Tajul dalam nyanyian adalah meneruskan legasi bakat yang ditinggalkan abangnya, Allahyarham Achik Spin.

Sejak awal kemunculan hingga kini nama Tajul tidak pernah lekang daripada terus dikaitkan dengan arwah Achik.

Tajul berkata, dia mengakui nama dan populariti ditinggalkan arwah Achik banyak membantunya mengatur langkah.

“Saya memang tak boleh nafikan nama dan populariti Achik amat membantu untuk cepat dikenali peminat.

“Dalam tempoh dua tahun ini rasanya saya sudah boleh memahat nama dan bakat sendiri di mata peminat. Walaupun bayangan arwah Achik takkan dapat dipadam, saya tahu ramai juga peminat sudah mengenali siapa Tajul,” katanya.

Pemuda berasal dari Sendayan, Negeri Sembilan ini berkata, dia tidak akan sia-siakan setiap peluang diperoleh.

Bakal sertai program realiti

Berkongsi perkembangan aktivitinya, Tajul berkata, dia berkemungkinan akan menyertai satu program realiti TV tidak lama lagi.

“Apakah nama program itu biarlah rahsia dulu kerana masih dalam perbincangan. Bagaimanapun, saya berminat untuk menyertainya.

“Saya mahu timba pengalaman baru kerana tidak pernah menyertai program realiti TV sebelum jadi penyanyi. Ia satu pengalaman menarik,” katanya.

Mengenai bidang lakonan pula, Tajul pernah membintangi filem Enjin No 9 arahan Raja Azmi dan telefilem istimewa Aidilfitri, Tergantung Rindu di Astro.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 11:05am
d