utama

Pakar sahkan Haqiem menghidap 'moderate depression'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYANYI, Haqiem Rusli, 20, akhirnya disahkan menghidap ‘moderate depression’ oleh pakar psikiatri sebuah pusat perubatan swasta, di sini, hari ini.

Haqiem dipercayai pergi ke pusat perubatan itu bersama pengurusnya, 3 petang tadi bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan awal.

“Dia baru berjumpa pakar dan selepas hampir sejam sesi berlangsung, pakar mengesahkan dia (Haqiem) mempunyai ‘moderate depression’.

“Doktor memberitahu kemurungan peringkat itu masih boleh diubati. Buat masa ini, dia perlu bergantung kepada ubat serta beberapa sesi kaunseling bermula minggu depan,” kata wakil FMC Music dihubungi Harian Metro.

Wakil jurucakap itu berkata keadaan kesihatan penyanyi terbabit stabil dan kemurungan dialaminya tidak kritikal.

Buat masa ini, pihak syarikat pengurusan memberi kelonggaran kepada Haqiem untuk berehat.

Pun begitu, ia bergantung kepada penyanyi itu sama ada mahu menerima sebarang tawaran nyanyian atau acara hiburan dalam tempoh terdekat.

Pada sidang media semalam, Haqiem meluahkan perasaan dan memberi penjelasan mengenai situasi dialami sebelum ini.

Penyanyi dikenali melalui lagu Tergantung Sepi itu juga memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang terkesan dengan tindakannya yang disifatkan tidak matang.

Dia turut berjanji bertemu pakar psikiatri bagi mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan:Lepas dihentam, Haqiem akui alami 'mild depression' [METROTV]

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 8:16pm
d