utama

'Memang peluang dinantikan'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Menghasilkan lagu tema untuk program Club Mickey Mouse adalah peluang yang dinantikan komposer dan penerbit, Audi Mok.

Audi yang pernah bekerjasama dengan penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Joe Flizzow nyata teruja apabila diminta pihak Disney untuk menghasilkan dua lagu.

“Dalam Club Mickey Mouse musim kedua, saya cipta dua lagu iaitu Start Me Up dan Crazy yang dinyanyikan semua anggota Mouseketeer,” katanya.

Menurut Audi, penghasilan lagu itu berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan pihak Disney.

“Tentunya lagu yang saya hasilkan bersesuaian dengan kehendak Disney yang mahukan lagu bertenaga dan rancak.

“Ia juga perlu memaparkan mesej positif memandangkan sasaran utama rancangan yang masuk musim kedua ini adalah kanak-kanak,” katanya.

Menurut Audi, kerjasama antara dia dan kumpulan Mouseketeer yang dianggotai Charis selaku ketua Mouseketeer, Dheena, Erissa, Faiz, Gabriel, Wafiy dan terbaru Ellya tidak sukar memandangkan sudah pernah bekerjasama sebelum ini.

“Saya terbabit dalam program ini sejak musim pertama. Jadi, saya dah kenal mereka dan ada pengalaman bekerja dengan mereka.

“Ellya anggota baru yang diserap masuk dalam musim kedua ini. Tak sukar juga, cuma biasalah, kalau pertama kali bekerjasama, saya nampak dia gugup.

“Apa yang boleh saya katakan, mereka cepat belajar dan yang pasti, kami semua berseronok walaupun sedang bekerja,” katanya.

Diminta bercerita mengenai dua lagu ciptaannya, Audi berkata, pada awalnya dia memberikan empat lagu.

“Daripada empat lagu itu, dua dipilih. Start Me Up dihasilkan dalam bahasa Inggeris manakala lagu Crazy pula dibuat dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Sejujurnya, lagu ini kena dengan jiwa dan minat saya yang mahukan karya rancak serta bertenaga,” katanya.

Club Mickey Mouse musim kedua mula ditayangkan di saluran Disney (Astro 615) semalam.

Selain menampilkan persembahan nyanyian dan tarian daripada kumpulan Mouseketeer, Club Mickey Mouse juga menyajikan persembahan artis jemputan antaranya Hael Husaini dan Diana Danielle.

Bagi memberi kelainan untuk musim kedua ini, Club Mickey Mouse juga mendekati peminat mereka di beberapa lokasi menerusi siri Club Mickey Mouse: Live!

Lokasinya ialah Gurney Paragon, Pulau Pinang pada 14 dan 15 Julai, MyTown Mall, Kuala Lumpur (18 dan 19 Ogos) dan IPC Mall, Kuala Lumpur (1 dan 2 September).

Untuk rekod, Club Mickey Mouse mula ditayangkan di Asia Tenggara pada September tahun lalu.

Di Amerika Syarikat, ia sudah mula bersiaran dan berjaya mencuri hati kanak-kanak sejak 1955 dan ditambah baik mengikut peredaran zaman.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 8:31am
d