utama

Lemas dalam perut feri

Oleh Agensi

Phuket: Sekurang-kurangnya 28 pelancong maut dan puluhan lagi hilang dalam nahas feri karam berhampiran pulau peranginan Phuket dengan kebanyakan mangsa lemas selepas terperangkap di dalam bot berkenaan.

Pusat penyelamat Phuket berkata, 28 mayat dikeluarkan dari air, manakala jurucakap tentera laut Thai, Laksamana Muda Charoenphon Khumrasee, berkata, penyelamat melihat ‘banyak mayat’ terapung di dalam perut bot Phoenix yang membawa pelancong China ketika karam.

Sementara itu, mayat yang berjaya dikeluarkan dari laut ditemui dalam keadaan terapung dan masih memakai jaket keselamatan, beberapa kilometer dari lokasi Phoenix karam selepas dibadai ombak setinggi lima meter ketika ribut pada lewat Khamis.

Reuters melaporkan Phoenix membawa 105 penumpang merangkumi 93 pelancong China serta 12 anak kapal dan pemandu pelancong tempatan ketika kejadian.

Rakaman langsung di laman Facebook perhubungan awam Phuket menunjukkan mayat dibawa ke pantai. Mangsa ditemui berhampiran gugusan kepulauan di pesisir Phuket.

Ketua Pengarah Jabatan Marin, Kritpetch Chaichuay mengaku kemungkinan besar tiada harapan untuk menemui mangsa terselamat lagi.

“Tempoh satu malam dan satu hari sudah berlalu,” katanya.

Sementara itu, tentera laut Thailand berkata, bot berkenaan tenggelam 40 meter di dasar laut, beberapa kilometer dari Koh He, pulau kecil yang terkenal kerana batu karang.

AFP melaporkan, Phoenix antara bot yang tidak mengendahkan amaran cuaca buruk dikeluarkan sejak Rabu lalu, apabila membawa pelancong untuk lawatan harian ke pulau kecil di sekitar Phuket.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwon semalam mengarahkan siasatan kenapa bot itu mengingkari arahan dan meneruskan pelayaran.

Beberapa kapal lain turut mengalami masalah di perairan berkenaan pada waktu sama dengan dua orang masih dilaporkan hilang selepas kapal layar dinaiki yang membawa 35 penumpang karam, manakala dua pelancong diselamatkan selepas jetski mereka mengalami masalah.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 9:03am
d