utama

'Cuti-cuti' sampah

Oleh Olivia Miwil

Kota Kinabalu: Melancong sambil mengutip sampah. Itu dilakukan lelaki warga Belanda mengembara ke beberapa negara termasuk Malaysia sambil memungut sampah demi menyampaikan mesej kepada orang ramai agar tidak malu menjaga alam sekitar.

Tijmen Sissing, 27, baru-baru ini viral di media sosial selepas gambarnya mengutip timbunan sampah bersama sekumpulan kanak-kanak di Semporna, dikongsi secara meluas.

Sebelum ini, dia pernah melakukan aktiviti mengutip sampah di Kemboja, Vietnam, Myanmar dan Filipina, selain di Semenanjung namun cuma mendapat publisiti meluas di Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Susulan publisiti meluas aktivitinya di timur Sabah, beberapa orang tempatan menyertai kerja pembersihan itu dan menyediakan bantuan termasuk memberi beg sampah, makanan serta kenderaan untuk mengangkut sampah.

Selain disertai sekumpulan kanak-kanak di Semporna, bagi aktiviti sama di Tawau, Tijmen dibantu 23 sukarelawan dalam kalangan masyarakat tempatan dan mengumpul timbunan sampah dalam 82 plastik besar dalam tempoh tiga jam.

Tijmen berkata, dia mula menyedari perlu menangani masalah alam sekitar yang kotor selepas menemui sejumlah besar sampah ketika melancong di Thailand, Laos dan Australia pada 2012.

“Ketika membersihkan sesuatu tempat, ada orang tempatan memandang sinis kerana mengumpul sampah di tempat awam.

“Biarpun mereka ketawa, saya masih menyambut mereka dan bertanya ‘apa khabar’ dan juga memakai beg sampah ketika memungut bahan buangan yang membuatkan saya kelihatan lucu.

“Adalah perkara biasa untuk orang ramai menuding jari kepada pihak berkuasa berkaitan masalah sampah, namun bagi saya lebih baik jika semua pihak bekerjasama untuk menanganinya,” katanya.

Bagi mendokumentasikan aktivitinya, Tijmen mewujudkan halaman The Trashpacker di Facebook pada Oktober tahun lalu.

Ia bagi memberi inspirasi kepada pelancong dan orang awam agar menyumbang untuk masyarakat.

Dia turut memiliki rakaman membersihkan kawasan pinggir pantai di Lahad Datu yang dikongsikan secara meluas di media sosial dan mendapat 250,000 tontonan dalam sehari.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 9:11am
d