utama

[UPDATE] Wanita dikerat pakai loket kalimah Allah

Oleh Safeek Affendy Razali

MAYAT wanita yang dikerat enam dan diletakkan dalam dua beg sebelum ditemui di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Khamis lalu dikesan memakai loket kalimah Allah.

Sehubungan itu Polis Kuala Lumpur, meminta mana-mana saksi atau kenalan yang meilhat kenalan atau ahli keluarga mereka memakai loket berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pada masa ini pihak polis masih berusaha mengenal pasti identiti mangsa.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa yang dipercayai adalah wanita warga asing.

"Berdasarkan proses pengecaman awal pada tubuh badan mangsa, tiada sebarang tanda suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui yang menyatakan kemungkinan dia bukan rakyat tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selain mengenal pasti identiti mangsa, pihaknya juga masih menjalankan siasatan secara terperinci dalam mengenalpasti identiti suspek termasuk berdasarkan maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,

"Pihak Polis Daerah Dang Wangi juga sudah membuat perbandingan rekod Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) dan mendapati cap jari mangsa tidak mempunyai sebarang rekod menunjukkan dia adalah warga tempatan.

"Selain itu, rekod cap jari yang sama juga tidak mengesan mangsa mempunyai sebarang rekod jenayah berdasarkan sistem rekod jenayah pusat," katanya.

Rusdi berkata, Polis Kuala Lumpur dan Daerah Dang Wangi amat mengalu-alukan mana-mana pihak atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis.

Mangsa ditemui memakai rantai leher berwarna hitam dan mempunyai loket tertera kalimah Allah ditemui dalam dua beg berbeza dengan jarak 20 meter dan dibalut dengan tiga lapisan iaitu lapisan pertama dibalut dengan plastik hitam kemudian cadar dan plastik berwarna hitam.

Dia dipercayai sudah mati melebihi 24 jam hingga 60 jam dari waktu bedah siasat dilakukan.

Siasatan awal mendapati kejadian ini dilaporkan oleh wanita gelandangan yang berada di lokasi beg pakaian ditemui dan sehingga kini seramai tujuh saksi awam yang berada berhampiran lokasi kejadian sudah diambil keterangan.

Berita berkaitan

Suspek wanita dikerat enam dikenal pasti

[UPDATE] Sah mayat wanita dikerat enam [METROTV]

Dua mayat ditemui dalam bagasi

[UPDATE] Kejam, mayat dikerat dalam dua bagasi

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 3:24pm
d