utama

Kongsi aktiviti dengan peminat

Oleh Norhayati Nordin

Sejak mendapat ‘kunci kebebasan’ memutuskan perjalanan karier seninya, penyanyi Wani Kayrie, 18, tekad tidak mahu bersikap sambil lewa.

Satu persatu strategi mula diatur bagi memastikan kembara seninya terus ‘hidup’ dan berkembang.

Antaranya, Wani mengambil langkah memuat naik rakaman video aktivitinya ke saluran Wani Kayrie TV menerusi YouTube.

Bersua muka dengan gadis manis ini ketika sesi fotografi, Wani rancak berbicara termasuk perihal pengaruh besar media sosial.

“Tidak dinafikan medium digital menjadi tumpuan masyarakat terutama generasi muda.

“Justeru, dengan adanya saluran Wani Kayrie TV menerusi YouTube, saya yakin ia sangat membantu.

“Menerusi saluran YouTube sendiri, mudah untuk saya berkongsi setiap aktiviti dengan peminat,” katanya.

Pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah ini juga bercadang memuat naik video demonstrasi masakan.

“Selain menyanyi, bermain muzik dan boling, saya juga minat memasak.

“Jadi, saya bercadang kongsi video masakan dengan peminat meskipun menu yang disediakan itu mudah.

“Biasalah, sebagai remaja yang baru habis persekolahan wajar untuk saya luangkan masa belajar memasak,” katanya.

Ujar Wani yang popular dengan single Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu, kini dia berjaya menarik lebih 28,000 penyokong ke salurannya.

Jelasnya lagi, biarpun jumlah pelanggan itu mungkin tidak sebanyak selebriti lain, dia amat bersyukur.

“Saya perlu ada saluran YouTube sendiri selepas melihat keberkesanan diperoleh rakan selebriti di negara jiran, Indonesia.

“Mereka dapat mengekalkan populariti apabila rajin memuat naik video ke saluran YouTube mereka.

“Justeru, saya mencuba kaedah ini dan ternyata berjaya menarik perhatian penyokong lain,” katanya.

Menurut Wani, untuk menempa kejayaan dia harus berani mencuba terutama penggunaan platform digital.

“Kini, medium komunikasi saya bersama peminat lebih luas selain menerusi Facebook (FB), Instagram (IG) dan Twitter.

“Malah, saya akui ungkapan ‘semuanya di hujung jari’ itu ada benarnya kerana lebih mudah dan pantas,” katanya.

Wani memberitahu dia juga rajin berkongsi rakaman video lagu saduran dibuatnya ke dalam saluran Wani Kayrie TV.

Kenangan Manis Di WCOPA 2012

Berbicara mengenai impiannya mahu bertanding di pentas D’Academy Asia (DAA) di Jakarta, Wani akui suka mencuba.

Ujar pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 ini, dia mahu kumpul pengalaman sebanyak mungkin.

“Sebenarnya, sejak kecil saya suka menyertai apa saja pertandingan nyanyian.

“Bukan sasaran kemenangan yang saya kejar tetapi perkara utama ingin saya timba adalah pengalaman.

“Nilai pengalaman itu sangat besar apatah lagi jika mendapat peluang bertanding di pentas nyanyian yang besar,” katanya.

Menurut Wani, pengalaman manis diingati hingga kini pastinya ketika menyertai World Championship Of Performing Arts 2012 (WCOPA 2012) di Hollywood.

“Ketika itu, saya mewakili negara dan berjaya memenangi lima pingat untuk lima kategori yang disertai.

“Saya bawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan satu gangsa serta memenangi Hollywood Industry Award,” katanya.

Mengulas mengenai pengalaman bersaing dengan peserta asing, Wani berkata cabarannya sangat besar.

“Apapun, sangat penting persediaan fizikal dan mental yang mantap untuk melakukan yang terbaik buat negara,” katanya.

Ujar Wani, siapa yang mahu pulang dengan tangan kosong tanpa kemenangan untuk negara?. Jadi, kenalah usaha bersungguh-sungguh.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 6:14am
d