utama

Cabaran bawa Tok Gajah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Meski disanjung dan dihormati, aktor hebat Wan Hanafi Su tidak pernah mendabik dada sebaliknya sentiasa menggali ilmu serta pengalaman baru. Terbaru, figura berkarakter ini menjalani penggambaran filem epik Mat Kilau yang membariskan beberapa pelakon hebat.

Menurut Wan Hanafi, menjayakan watak Tok Gajah pengalaman baru buatnya, lebih-lebih lagi apabila julung kali berlakon di bawah arahan Syamsul Yusof.

“Syamsul sutradara yang sangat teliti dalam segala aspek. Setakat ini, saya baru selesai menjalani penggambaran untuk dua babak yang membabitkan watak Tok Gajah,” katanya.

Menurutnya, walaupun penggambaran filem itu memakan masa yang lama, dia yakin hasilnya nanti pasti membanggakan.

“Untuk dua babak sebelum ini, saya berkampung di Seri Iskandar selama sebulan.

“Saya tak marah kerana faham cara kerja Syamsul. Banyak cabarannya untuk menghasilkan filem ini tetapi saya yakin dengan hasilnya nanti,” katanya.

Bercerita lebih lanjut pengalaman bekerja dengan pengarah terkenal itu, Wan Hanafi berkata Syamsul seorang yang serius.

“Selain teliti, dia juga sangat serius dan tahu apa yang dia mahu. Jadi, sebagai pelakon saya berikan apa yang dia mahu,” katanya.

Secara keseluruhan, ada 11 babak yang membabitkan dirinya. Wan Hanafi turut berkongsi pengalaman menarik ketika penggambaran berlangsung.

“Lokasi penggambaran kami terletak di dalam hutan dan di tebing sungai. Disebabkan cuaca, ada kala hujan dengan lebat dan jeti yang dibina sebagai prop penggambaran beberapa kali dihanyutkan arus.

“Itu yang membuatkan saya seronok dan teruja untuk terus berada bersama pasukan produksi ini,” katanya.

Titik berat karya

Setara dengan pencapaian dan pengalamannya dalam industri, Wan Hanafi mengakui lebih memilih karya berbanding perkara lain.

“Saya lebih menitikberatkan karya sebelum menerima sesuatu tawaran. Saya akan lihat apa jalan ceritanya.

“Selain itu, saya nak tahu juga dengan siapa saya akan bekerja dan barisan rakan gandingan,” katanya.

Kata pelakon berusia 68 tahun itu lagi, sekiranya karya yang ditawarkan kepadanya berbaloi untuk diterima, jumlah babak tidak menjadi masalah.

“Kalau satu babak sekali pun, andai karyanya bagus kenapa perlu saya tolak?

“Seperkara lagi, jika orang meletakkan kepercayaan kepada kita, itu patut dijadikan peniup semangat untuk terus bekerja keras,” katanya.

Terbaru, Wan Hanafi terikat dengan penggambaran filem original terbitan HBO berjudul The Garden of Evening Mists.

“Dalam filem ini saya memegang peranan sebagai orang kaya yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi dan mahukan kemerdekaan untuk tanah air,” katanya.

Selain Wan Hanafi, filem itu dibarisi ramai pelakon tempatan dan asing termasuk Lee Sinje, Hiroshi Abe, John Hannah, David Oakes, Serene Lim, Tan Kheng Hua dan ramai lagi.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 6:15am
d